Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Geng Ustaz buat laporan polis ke atas Persatuan Hokkien

Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulamak (GU) atau juga dikenali sebagai Geng Ustaz hari ini membuat laporan polis terhadap Persatuan Hokkien Malaysia yang melancarkan kempen mengumpul sejuta tandatangan untuk menolak pindaan Akta 355.

Mereka berkata, tindakan tersebut adalah campur tangan melampau dan melanggar sempadan kebebasan mengamalkan aktiviti beragama yang terkandung dalam perlembagaan persekutuan.

“Tindakan Persatuan Hokkien Malaysia boleh mengundang suasana tegang antara agama kerana menghasut tanpa melalui proses yang sihat seperti yang sedang berlangsung di parlimen Malaysia.

“Kebimbangan kami ada asasnya, di mana sekiranya berlaku tindakbalas dari orang awam di kalangan umat Islam yang merupakan majoriti rakyat di negara ini tentu saja ia mengundang suasana tegang sekali gus mengganggu ketenteraman negara,” kata presidennya, Norazli Musa.

Beliau ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini selepas membuat laporan.

Persatuan Hokkien Malaysia baru-baru ini mendakwa mereka yakin dapat mengumpul sejuta tandatangan daripada rakyat Malaysia bagi menentang rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah, Akta Mahkamah Syariah (bidangkuasa jenayah) 1965 (Akta 355) dan Enakmen Jenayah Syariah (II) 1993 (Kelantan).

Pindaan itu dikatakan akan merintis jalan supaya hukum hudud dapat dilaksanakan di negara ini.

Presiden Persatuan Hokkien Malaysia, Tan Sri Khoo Chai Kaa sebelum ini dilaporkan berkata kempen yang dilancarkan pada Jun lalu itu telah mengumpul 600,000 ribu tandatangan.

Katanya, persatuan itu turut menyasarkan 1,000 lagi tandatangan daripada NGO dan kira-kira 100 pertubuhan lain.

Khoo berkata, selepas 20 September, tandatangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada semua 222 Ahli Parlimen.

Mengulas lanjut Norazli mahu pihak polis menyiasat langkah persatuan terbabit sekali gus mengambil tindakan sewajarnya.

“Kami (GU) ingin meminta pihak polis menyiasat langkah Persatuan Hokkien tersebut di bawah Akta Hasutan dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka kerana tindakan yang mereka ambil boleh disifatkan ingin menghasut masyarakat bukan Islam untuk menentang dan menghalang orang Islam daripada beramal dengan agamanya,” katanya.

Lihat Komen
ADS