Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kadar sewa pejabat di M'sia dijangka turun
Diterbitkan:  Aug 24, 2016 4:48 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Jumlah penawaran pejabat dengan kadar pendudukan yang rendah sejak 2015, dijangka menurunkan kadar sewaan ruang pejabat, kata perundingan hartanah.

Pengarah Urusan PPC International Sdn Bhd Datuk Siders Sittampalam mengunjurkan bilangan ruang pejabat yang besar, kira-kira 10 juta kaki persegi, dijangka tersedia dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Berdasarkan bekalan pejabat yang meningkat dan penurunan penyewaan sejak 2015, kadar sewaan dijangkakan terus kekal pada kadar semasa atau mengalami penurunan pasca 2016.

"Menerusi penawaran bekalan daripada TRX, Bandar Malaysia, Menara118 dan pembangunan bersepadu yang lain, pasaran ruang pejabat dijangka menyaksikan lebihan bekalan secara umumnya, kecuali berlaku pemulihan dalam aktiviti ekonomi yang diluar jangkaan," katanya kepada Bernama.

Berdasarkan cabaran ekonomi semasa, dalaman dan luaran, Siders berkata, beliau tidak menjangkakan pemulihan pada separuh kedua 2016, namun menjangkakan pemilik tanah akan menyesuaikan kadar sewa untuk menjadikannya lebih menarik kepada bakal penyewa.

"Pada masa ini, Tabung Haji telah menyemak semula kadar sewa lima tingkat pertama bangunan pejabat mereka di sekitar pusat bandar kepada RM5 sekaki persegi berbanding antara RM7.50 dan RM8.50 bagi setiap kaki persegi sebelum ini.

"Langkah ini bertujuan untuk mendapatkan penyewa dan memaksimumkan kadar penghunian bangunan. Kemungkinan ada tuan-tuan tanah lain mencontohinya atau menawarkan pakej sewaan yang menarik untuk mendapatkan penyewa untuk bangunan mereka," katanya.

Siders berkata persekitaran pasaran pejabat dijangkakan terus mencabar untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Sementara itu, Pengurus Negara Property Guru Malaysia Sheldon Fernandez percaya wujud permintaan jangka panjang untuk bangunan pejabat Gred A, dengan lebih banyak syarikat antarabangsa dijangka menubuhkan operasi di sini kerana Kuala Lumpur terus mendapat perhatian sebagai lokasi yang sesuai untuk syarikat-syarikat antarabangsa menubuhkan hab serantau mereka di sini.

"Walaupun berlaku lebihan ruang pejabat gred lain, pejabat gred A masih memiliki potensi besar pada masa akan datang. Ruang komersial (pejabat) pada peringkat awal yang terjejas oleh pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan, kini sudah pun dapat menyesuaikan dengan kejutan itu.

"Bagaimanapun, akan ada bangunan pejabat dan lokasi tertentu yang tidak terjejas atau sekurang-kurangnya mengekalkan penghunian dan kadar sewa sedia ada," katanya.

Sheldon berkata penyewa utama seperti bank-bank dan syarikat minyak dan gas mahu mengurangkan kos, dan oleh itu akan mengurangkan ruang pejabat, ruang yang lebih kecil sudah memadai untuk bilangan kecil pekerja mereka.

"Bagi kebanyakan syarikat, penyewaan ruang pejabat merupakan kos kedua terbesar selepas gaji pekerja. Oleh itu, ketika kegawatan, sudah pasti ruang pejabat akan dikurangkan, yang akhirnya memberi tekanan ke atas kadar sewa.

"2016 nyata sekali merupakan pasaran penyewa, sama seperti sektor kediaman dengan keadaan memihak kepada penyewa dan pembeli, dan sukar bagi tuan tanah dan penjual," katanya.

Dalam usaha untuk mengekalkan tahap sewa semasa, Sheldon berkata pemilik bangunan pejabat perlu memikirkan cara untuk mengintegrasikan atau menghubungkan aset mereka dengan pengangkutan awam seperti kemudahan rel.

"Orang ramai tidak sentiasa memilih untuk menyewa tempat yang lebih murah walaupun ia merupakan antara faktor pilihan. Jika lokasi semasa disediakan dengan hubungan daa akses utama selain pelbagai kemudahan (kawasan permainan kanak-kanak, restoran, gimnasium dan lain-lain), mereka masih boleh mengekalkan penyewa.

"Pengalaman penyewa dan khidmat pelanggan sangat penting, berdasarkan kedudukan pasaran semasa," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS