Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dakwa Agong MO1, Bukit Aman siasat MP Umno
Diterbitkan:  Aug 24, 2016 5:27 PM
Dikemaskini: 11:12 AM

Bukit Aman kini menyiasat kes berhubung tindakan anggota parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad yang mengaitkan 'Malaysian Official 1' (MO1) dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya menerima lebih 10 laporan berkaitan kenyataan Nawawi dan siasatan kini dibuka bagi membolehkan tindakan lanjut dilakukan.

Kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, lapor Berita Harian.

"Pada mulanya kita sendiri menyiasat kes terbabit di Langkawi tetapi selepas menerima banyak laporan, Bukit Aman mengambil alih kes terbabit bagi mempermudahkan siasatan susulan.

"Siasatan awal, Nawawi mendakwa kenyataannya dimanipulasi tetapi kita serahkan kepada Bukit Aman untuk menyiasat termasuk mengambil keterangannya untuk perhatian peguam negara," katanya dipetik sebagai berkata.

Isnin lalu, Nawawi memohon ampun daripada Agong berhubung kekeliruan istilah 'Malaysian Official 1' atay 'MO1' di laman Facebooknya minggu lalu.

Nawawi berkata beliau tidak berniat mengaitkan baginda tetapi ia menjadi viral oleh pihak tertentu dengan fahaman yang lain daripada apa yang cuba dinyatakan.

Ia ekoran Majlis Kerabat Diraja Kedah memberi amaran keras kepada semua pihak supaya tidak melangkaui batas dengan menarik pihak istana terutama Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, ke kancah politik tanah air.

Dalam tulisan di Facebook minggu lalu, yang disunting empat jam kemudian, ahli parlimen Langkawi itu berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab terhadap kerajaan.

Dalam versi yang disunting, baris terakhir dalam posting telah digantikan dengan perkataan, "Maka, mengikut perlembagaan MO1 bukan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Razak) kerana dia (adalah sama ada) MO2, MO3, atau MO4."

Dalam komennya kemudian, Nawawi berkata, beliau tidak bercakap mengenai MO1 dalam konteks saman mahkamah DOJ, tetapi sebaliknya dari segi perlembagaan.

Berikutan tulisan itu, Nawawi dibidas pelbagai pihak antaranya PERKASA serta anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Kedah.

Lihat Komen
ADS