Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
"Surat Lin Dan? Awak ingat kita cinta," kata Chong Wei

Jaguh badminton negara Datuk Le Chong Wei menafikan beliau ada menerima surat terbuka yang dikatakan ditulis oleh seteru tradisinya dari China, Lin Dan.

Menjawab soalan wartawan, Chong Wei sebaliknya sempat berseloroh dengan mengatakan mereka bukannya pasangan bercinta.

"Mana ada, saya tak dapat (surat). Itu tipu punya.

"Saya tak tulis, dia pun (Lin Dan) tak tulis. Awak ingat kita cinta ke tulis surat ni," katanya dengan nada berseloroh pada sidang media di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di Sepang hari ini.

Surat yang didakwa dari Lin Dan itu menjadi viral di media sosial selepas Chong Wei tewas dalam aksi akhir badminton perseorangan ‎lelaki di Olimpik Rio Sabtu lalu.

Menurut pemain nombor satu dunia itu, surat tersebut mungkin sengaja ditulis oleh wartawan dari China dan menjadi viral di media sosial.

"Tak ada isu, itu wartawan China sendiri tulis punya," katanya disusuli ketawa.

Dalam perlawanan separuh akhir itu, pertembungan dua seteru tradisi berkenaan disifatkan sebagai sengit hingga ke titisan keringat terakhir.

Aksi penuh mendebarkan sejak dari set pertama, perlawanan berpihak kepada Lin Dan - sekali gus mencemaskan penyokong Malaysia.

Di set kedua pula Lin Dan bagaikan kehilangan rentak untuk seketika apabila 12 mata menjarakkan atlet China itu dengan Chong Wei di kedudukan 11-4.

Bagaimanapun Lin Dan berjaya merapatkan jurang sebelum perlawanan berakhir 21-11.

Debaran mutlak berlaku di set ketiga.

Kedua-dua pemain hanya dibezakan satu atau dua mata dengan setiap seorang saling memungut mata.

Perlawanan set ketiga memperlihatkan Chong Wei dan Lin Dan bergilir-gilir mendahului lawan dengan perbezaan satu mata saja.

Sedikit kelegaan hadir di hujung-hujung babak apabila Chong Wei mendahului pada mata 20-18 sebelum Lin Dan menyamakan kedudukan.

Perlawanan terpaksa ditentukan secara deuce.

Selepas bertarung selama 79 minit - dengan rali paling lama satu minit dan 59 pukulan - Chong Wei berjaya mendapat dua mata berturut-turut dan memuktamadkan kemenangan dengan mata 22-20.

Lihat Komen
ADS