Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Johari: Dakwaan kebocoran maklumat Scorpene perlu disiasat
Diterbitkan:  Aug 25, 2016 5:56 AM
Dikemaskini: 10:10 PM

Dakwaan kebocoran maklumat mampu tempur kapal selam Scorpene yang turut dibeli Malaysia dari syarikat pertahanan DCNS Perancis, perlu disiasat bagi mengesahkan kesahihan berita seperti yang dilaporkan media antarabangsa.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata maklumat berkenaan perlu disahkan terlebih dahulu sebelum ia diuar-uarkan kepada umum.

"Laporan atau dakwaan berkenaan perlu disiasat dan disahkan terlebih dahulu dari segi maklumat jenis apa yang dimaksudkan serta tahap darjah keselamatan maklumat berkenaan.

"Apa sekalipun hasilnya, spesifikasi, ciri-ciri serta keupayaan kapal kita adalah unik dan berlainan dengan kapal selam dari negara Chile ataupun India," katanya ketika ditemui di majlis malam Anugerah Sukan Angkatan Tentera Malaysia di Wisma Perwira, di ibunegara.

Beliau berkata tiada apa yang perlu dibimbangkan berhubung dakwaan kebocoran maklumat yang dilaporkan itu kerana ia tidak menjejaskan tahap operasi mahupun keselamatan kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Johari berkata maklumat ketenteraan yang berdarjah khasnya terhadap aset strategik negara sentiasa dikawal rapi.

Katanya, anggota TLDM sentiasa diingatkan mengenai keselamatan maklumat bagi mengelak sebarang kebocoran maklumat.

"Pada saya, jika ada mereka yang ada niat untuk bocorkan maklumat, mereka ini boleh dianggap pengkhianat negara.

"Alhamdullilah, sukacita saya nyatakan bahawa kita tidak menghadapi masalah ini tetapi kita tidak boleh leka atau ambil mudah cabaran atau isu ini dan kita perlu tegas dan tidak boleh berkompromi dalam hal-hal keselamatan negara," katanya.

Semalam, media Australia melaporkan data sensitif mengenai kemampuan kapal selam Scorpene yang dibina syarikat kapal Perancis itu mengalami kebocoran secara besar-besaran susulan kebocoran sebanyak 22,400 muka surat dokumen rahsia kapal selam itu itu yang dimiliki Tentera Laut India.

Rekaan kapal selam itu dikatakan mempunyai kelas yang sama dengan kapal selam milik TLDM iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak yang beroperasi di perairan Kota Kinabalu, Sabah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS