Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekerja kontrak 15 tahun berpeluang diserap ke jawatan tetap
Diterbitkan:  Aug 25, 2016 3:36 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun berkata mulai Julai tahun ini Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) membuka peluang kepada pekerja kontrak kerajaan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun untuk diserap ke dalam perkhidmatan tetap.

Beliau berkata perkara itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 15,000 kakitangan kontrak kerajaan di seluruh negara dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat.

"Pada masa ini kita masih dalam proses pemilihan dan terdapat beberapa aspek yang akan dilihat, khususnya dari segi disiplin dan kesihatan pegawai kontrak berkenaan.

"Penyerapan ke jawatan tetap itu terbuka untuk kakitangan gred rendah hingga ke gred profesional bagi semua jawatan dalam kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Outreach SPA di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di Kota Kinabalu hari ini.

Sementara itu, Entulu berkata SPA telah menerima sebanyak 1,385,460 permohonan di seluruh negara dalam tempoh Januari sehingga Julai tahun ini.

"Daripada jumlah itu seramai 77,349 pemohon telah dipanggil temuduga dan jumlah yang hadir pada temu duga hanya seramai 44,175 pemohon. Setakat ini jumlah calon yang telah dilantik dan menerima surat tawaran dalam pelbagai sektor kerajaan adalah seramai 9,506 orang," katanya.

Beliau berkata daripada 1,385,460 pemohon, sebanyak 168,628 adalah pemohon dari Sabah dan daripada jumlah itu sebanyak 4,939 telah dipanggil temuduga dan 746 calon dilantik ke pelbagai jabatan.

Mengulas mengenai Karnival Kerjaya dan Outreach SPA itu, Entulu berkata ia akan memberi manfaat kepada pemohon pekerjaan di Sabah bagi mempersiapkan diri untuk memasuki alam pekerjaan dalam pelbagai sektor.

"Pada karnival ini pegawai SPA akan memberikan taklimat kerjaya beserta tips untuk menghadiri temu duga dan peperiksaan yang dikendalikan oleh SPA.

"Ini penting kerana antara faktor utama yang menyebabkan seseorang graduan tidak mendapat tawaran pekerjaan walaupun mempunyai akademik yang cemerlang ialah disebabkan tiada keyakinan, penampilan diri tidak menarik semasa temuduga atau tidak menepati ciri-ciri pekerja yang diperlukan," tambahnya.

Beliau berkata antara aktiviti utama yang diadakan pada karnival berkenaan ialah ceramah kerjaya dan panduan temuduga kepada para pelajar di Sabah serta pemohon pekerjaan dari pelbagai lapisan masyarakat.

"Selain itu terdapat pelbagai agensi kerajaan yang lain turut serta bagi mempamerkan fungsi dan peranan mereka kepada orang awam. Antara agansi berkenaan ialah Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS