Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafidah takkan sertai BERSATU, kekal bersama Umno
Diterbitkan:  Aug 25, 2016 3:57 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Tan Sri Rafidah Aziz menegaskan beliau tidak akan menyertai mana-mana parti baharu termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata, pada ketika ini, beliau masih kekal sebagai ahli Umno dan tidak bercadang untuk mengubah haluan walaupun jika 'dilamar' mana-mana pihak.

"Tidak (menyertai parti). Saya tidak ambil kisah dengan parti baharu itu dan saya tidak terbabit. Saya masih ahli UMNO," ujar Rafidah, memetik laporan BH Online.

Nama bekas ketua wanita Umno dan bekas ahli parlimen Kuala Kangsar itu pernah terpalit dalam senarai palsu pemimpin parti baru Mahathir sebagai naib presiden.

Selain itu, Rafidah juga pernah mencetuskan kebimbangan mengenai kesetiaannya kepada Umno di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak awal tahun ini.

Rafidah dipetik sebagai berkata, perdana menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pasti akan kecewa dengan situasi semasa negara.

"Saya selalu kata, Tun Razak benar-benar akan kecewa jika beliau tahu apa yang berlaku kepada negara pada masa ini," kata Rafidah pada Seminar Khas Memperingati Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Kedua 1970-1976), di Kuala Lumpur, awal tahun ini.

Menurutnya, budaya politik yang membolehkan negara menjadi kuat dan dihormati semakin terhakis dan tumpuan juga tidak lagi diberikan kepada pembangunan negara.

Secara khusus, beliau mempersoalkan dasar pendidikan negara yang semakin tidak berkualiti.

Mengulas lanjut, Rafidah berkata, belum ada mana-mana individu daripada parti berkenaan datang kepadanya untuk membawa beliau menyertai parti berkenaan.

Ujarnya, beliau mengetahui mengenai namanya dikaitkan dalam satu senarai yang kononnya adalah nama bakal pemimpin parti baharu itu, namun tidak mengetahui bagaimana beliau disenaraikan.

"Ada senarai nama ketika itu, tetapi saya tidak ada dan tidak tahu mengenainya kerana saya berada di luar negara (pada ketika itu)," tambah beliau.

Lihat Komen
ADS