Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kementerian Pendidikan tarik balik penangguhan aktiviti air
Diterbitkan:  Aug 25, 2016 4:50 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Kementerian Pendidikan menarik balik penangguhan semua aktiviti air dalam kegiatan kokurikulum murid serta-merta mulai semalam.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata semua Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan daerah dan pengurusan sekolah sehubungan itu, disarankan untuk lebih berhati-hati memilih tempat bagi menjalankan aktiviti kokurikulum murid di luar.

"Kementerian Pendidikan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang perlu diikuti pihak sekolah.

"Garis panduan yang perlu dipatuhi diperincikan menerusi tiga fasa iaitu sebelum, semasa dan selepas aktiviti dijalankan bagi memastikan peserta program tidak ditimpa sebarang kemudaratan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan
Sekolah Seni Malaysia Johor di Bandar Seri Alam di Johor Bahru hari ini.

Mahdzir berkata pihak sekolah juga perlu mendapatkan maklumat risiko dan nasihat berkaitan penyakit berjangkit di kawasan aktiviti yang akan dijalankan daripada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran sekurang-kurangnya sebulan sebelum tarikh sesuatu aktiviti.

Kementerian Pendidikan, pada 12 Ogos lepas, mengeluarkan arahan penangguhan aktiviti air dalam kegiatan kokurikulum murid berikutan kes seorang guru di Kedah yang meninggal dunia akibat jangkitan leptospirosis atau kencing tikus.

Guru berkenaan mengalami demam dan muntah selepas menyertai aktiviti Pendidikan Luar Murid Sekolah Menengah 1Malaysia peringkat negeri di Pusat Kokurikulum Baling selama tiga hari bermula 17 Julai lepas.

Guru itu kemudian disahkan meninggal dunia pada 11 Ogos lepas di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

- Bernama

Lihat Komen
ADS