Paling Popular
Terkini

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tindakan bekas anggota Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin menarik balik samannya ke atas perdana menteri dan beliau sebagai "perkara biasa".

Bercakap kepada media di Kuala Lumpur hari ini Tengku Adnan berkata Anina mungkin berasa dia tidak boleh memenangi saman berkenaan.

"Biasalah, barangkali dia (Anina) rasa dia tak boleh menang dia tariklah saman dia pada saya dan Datuk Seri Najib.

"Terserah pada dialah (sebab) dia yang saman kami," katanya ringkas.

Sebelum itu Tengku Adnan merasmikan 11 arca karya Datuk Lat yang dipasang di sepanjang laluan Jejak Warisan 2 di Jalan Melaka, Jalan Gereja dan sebahagian Jalan Raja Chulan.

Anina semalam menarik balik semua tindakan undang-undang yang dibuat atas kapasiti beliau sebagai anggota Umno ke atas Tengku Adnan dan Najib.

Ia bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk Najib memulangkan semula sumbangan kepada Umno - bernilai RM2.6 bilion - serta pemecatan Anina sebagai anggota parti.

Anina - yang kini bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi anggota jawatankuasa penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) - turut memohon mahkamah mengisytiharkan Seksyen 18C Akta Pertubuhan sebagai tidak berpelembagaan.

Keputusan itu kata Anina dibuat kerana beliau kini berjuang melalui BERSATU.

Sementara itu diminta mengulas penahanan seorang pengarah jabatan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Tengku Adnan yang juga anggota parlimen Putrajaya enggan mengulas.

"Kita tinggalkan (serah) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," kata Tengku Adnan.

Lihat Komen
ADS