Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hotel Muslim di Gunung Fuji belum ada tempahan
Diterbitkan:  Aug 25, 2016 5:28 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

GLOBAL Hasrat murni seorang pengusaha Jepun membina sebuah hotel berkonsepkan syariah masih belum terlaksana apabila hotelnya belum menerima kunjungan pelancong beragama Islam.

Hotel tersebut dibuka berhampiran tasik Kawaguchi dalam daerah Fujikawaguchiko yang memiliki pemandangan indah dan terletak di kaki Gunung Fuji.

Hotel syariah Fujisan menawarkan menu halal bagi para tetamu muslim, dengan sajian masakan Jepun menggunakan daging lembu dan minuman tanpa alkohol.

Ia juga dilengkapi surau untuk kemudahan solat, manakala sebanyak lapan bilik di hotel itu mempunyai anak panah yang menunjuk arah kiblat, lengkap dengan sejadah.

Menurut Japantimes.co, meskipun hotel itu diubahsuai daripada sebuah rumah kosong menjadi sebuah hotel bercirikan syariah pada 17 Ogos lalu, namun ia masih tidak menerima sebarang tempahan.

Pengendali hotel tersebut Shigeru Yamashita berkata beliau memang menjangka tidak akan mendapat pelanggan pada hari-hari awal selepas restoran itu dibuka.

"Saya menguruskan hotel ini sambil melihat ke depan untuk masa akan datang dalam tempoh lima hingga 10 tahun," katanya.

Yamashita, 72, tertarik dalam sajian makanan halal beberapa tahun lalu selepas membawa sekumpulan pelancong muslim.

Beliau mensasarkan pelancong beragama Islam kerana peningkatan bilangan pengunjung ke Fujikawaguchiko adalah berasal dari Indonesia dan Malaysia.

Satu lagi hotel yang dikendalikan Yamashita di bandar itu mula menawarkan makanan halal tahun lepas.

Yamashita memutuskan untuk membuka sebuah hotel khusus untuk pelancong muslim selepas diberitahu kesukaran mereka mencari masjid dan restoran halal.

Fujikawaguchiko biasa menerima kunjungan pelancong dari Indonesia dan Malaysia, dengan lebih 8,000 rakyat daripada kedua-dua negara melancong ke kawasan itu pada 2015.

Yamashita percaya jumlah itu akan meningkat jika persekitaran yang mesra dibangunkan di sana.

Beliau juga sedang mempertimbangkan untuk membina masjid di hotel ini dan menawarkan perkhidmatan bagi umat Islam di hotel lain yang dimilikinya, tetapi bergantung kepada nasib hotel baru itu nanti.

Lihat Komen
ADS