Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penerima darjah kebesaran Dato' Johor diingat hadir tahlil, hari Hol
Diterbitkan:  Aug 25, 2016 6:24 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

Penerima darjah kebesaran Dato' di Johor diingatkan supaya menghadiri majlis tahlil dan sambutan Hari Hol pada 5 dan
6 November depan.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata mereka yang gagal menghadirinya dianggap tidak menjunjung titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sekaligus akan dikenakan tindakan.

"Majlis tahlil pada 5 November dan Hari Hol pada 6 November adalah untuk memperingati jasa Almarhum Sultan Iskandar. Almarhum telah mengurniakan pangkat Dato' kepada mereka, jadi, sebagai rakyat Johor dan orang Islam, datanglah dan hormatlah hari itu.

"Saya mengingatkan, dalam negeri Johor, jemputan dari istana adalah titah Raja. Apabila titah Raja, maka, perlulah kita junjung titah itu," katanya kepada pemberita di Johor Bahru hari ini.

Abdul Rahim berkata dianggarkan tidak lebih 150 individu menerima darjah kebesaran terbabit dengan kedatangan mereka pada hari berkenaan akan direkodkan manakala mereka yang gagal menghadirinya perlu memberikan penjelasan.

Beliau berkata sebelum ini terdapat beberapa penerima yang memberi alasan tidak mendapat surat jemputan kerana sesetengahnya sudah bersara atau berpindah ke tempat lain.

Sehubungan itu, Abdul Rahim meminta mereka menghubungi Jabatan Diraja Johor bagi mengemukakan alamat dan nombor telefon terkini bagi memudahkan penghantaran surat jemputan.

"Diingatkan pakaian untuk majlis tahlil adalah baju Melayu Teluk Belanga berwarna putih dan samping hitam manakala Hari Hol, baju Melayu Teluk Belanga berwarna hitam dan samping hitam," katanya.

Sultan Ibrahim ketika bertitah pada Hari Ulang Tahun ke-51 Rejimen Gerak Khas di Kem Iskandar, Mersing, 4 Ogos lepas, memberikan amaran akan menarik balik darjah kebesaran Dato' yang dikurniakan Almarhum ayahanda baginda kepada penerima yang gagal menghadiri Hari Hol.

Baginda bertitah, amaran itu dikeluarkan berikutan terdapat segelintir daripada penerima darjah tersebut tidak menghadiri Hari Hol sebelum ini, biarpun ia diisytiharkan cuti umum di Johor sebagai memperingati kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar.

Hari Hol yang disambut pada 6 Safar setiap tahun kebiasaannya meliputi majlis tahlil dan istiadat ziarah makam Almarhum Sultan Iskandar.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS