Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat dakwaan pencabulan seksual di sebuah maahad tahfiz di Gerik yang dimiliki seorang penceramah bebas terkemuka.

Timbalan Pengarah JAIPk Harith Fadzillah Abd Halim berkata sekiranya kes tersebut benar berlaku, pihaknya akan memberi amaran keras kepada pusat pendidikan tahfiz itu agar kejadian sedemikian tidak berulang.

"Pihak JAIPk tiada kepakaran untuk menyiasat kes tersebut...kita serahkan sepenuhnya kepada polis untuk siasat kes itu dan bertindak mengikut undang-undang sekiranya mereka yang terlibat didapati bersalah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Kempen Bersama Mencegah Jenayah Syariah Peringkat Daerah Gerik di Dewan Pejabat Agama Gerik hari ini.

Harith Fadzillah berkata sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kes tersebut.

"JAIPk belum lagi menerima sebarang aduan mengenai kes gangguan seksual di pusat pendidikan tahfiz itu seperti yang didakwa oleh 10 individu itu. Kes itu hanya dilaporkan kepada pihak polis," katanya.

Baru-baru ini, dakwaan mengenai beberapa pelajar baharu di maahad tahfiz berkenaan dicabul selain berlaku seks luar tabii menjadi viral menerusi WhatsApp.

Semalam, Ketua Polis Perak Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata pihaknya telah mengambil keterangan daripada 10 individu termasuk pelajar, pengadu dan pihak sekolah terbabit.

Menurut Abdul Rahim, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 377E iaitu merangsang seorang kanak-kanak (di bawah 14 tahun) untuk melakukan sesuatu perbuatan kelucahan melampau yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS