Paling Popular
Terkini
story images
story images

Tidak seperti selalu tulisan ini hanya mengambil 30 minit untuk disiapkan. Awalnya saya tulis menggunakan telefon tangan sambil menanti waktu solat Maghrib.

Fikiran saya terganggu dengan komentar seorang profesor dalam wacana perbincangan perkumpulan kami.

Profesor itu mempertikaikan dan merendah-rendahkan luahan atau suara anak muda perempuan Melayu bernama Anis Syafiqah Mohd Yusof dalam himpunan di hadapan pintu masuk UiTM Seri Iskandar, Perak.

Disebut bahawa mahasiswa Melayu itu sudah jadi alat pembangkang dan produk DAP. Bagi menguatkan hujah profesor itu beliau mengepilkan tulisan dari sebuah blog yang entah siapa empunya diri.

Namun apabila saya membaca kandungan blog itu, ia ternyata merendah-rendahkan keupayaan berfikir manusia.

Sementara itu, "keberanian" atau "kelantangan" Anis itu diambil kesempatan oleh sebahagian kelompok pula untuk tumpang sekaki. Ada yang sibuk kononnya anak muda itu ada kaitan dengan mereka, dan sebagainya.

Nampaknya ia dibuat dengan harapan mereka boleh mendapat keuntungan politik. Ini pun satu lagi penyakit orang Malaysia.

Untuk lebih adil, saya gunakan tanda petik (") pada ungkapan keberanian dan kelantangan di atas kerana wujud perbezaan pandangan dalam mentafsir aksi Anis itu.

Pada sesetengah pihak, itu adalah "kebiadaban" dan "keceluparan".

Si tua sendat otak

Kembali kepada perbincangan perkumpulan tadi. Saya tulis begini dalam wacana itu:

Setahu saya, Anis adalah mahasiswa Universiti Malaya. Bukan saja dia hadir kuliah di kampusnya tetapi menyertai program Sekolah Demokrasi kendalian DAP, Institut Kajian Dasar (IKD) yang berkaitan dengan PKR dan menyertai siri tarbiah PAS.

Anis juga lulusan Darul Quran yang terletak di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), selain terlibat dalam kursus yang dianjurkan kerajaan dan pihak universiti.

Saya tidak pasti sama ada Anis itu pernah menyertai program Umno atau BN semasa di kampus.

Sebagai Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM, Anis adalah manusia didikan sistem sosial kita. Anis dan kawan-kawannya masih belum berkahwin dan belum bekerja.

Anis bukanlah produk - jika ada yang mendakwa Anis dan kawan-kawannya adalah produk -pembangkang. Lainlah kalau universiti kita anggap sebagai kilang dan pensyarahnya adalah robot.

Petang itu saya melewati jalan masuk UiTM Seri Iskandar. Memang hari-hari saya melewati situ kerana saya bekerja di Univeriti Teknologi Petronas (UTP) yang letaknya tidak jauh dari UiTM itu.

Namun petang itu tidak seperti biasa keadaan jalan di situ. Kereta saya tidak dapat bergerak walaupun lampu hijau sudah menyala. (Jika dari arah UTP, sebelum jalan masuk ke UiTM, ada lampu isyarat). Saya menyumpah-nyumpah dalam hati - Menggapalah buat roadblock dekat lampu isyarat?

Namun apabila kereta saya akhirnya bergerak kemudian, tiada sekatan jalan raya pun. Hanya ada kon-kon yang menjadikan jalan dua lorong menjadi satu lorong.

Ada kemalangankah? Atau apakah ada bapak menteri turun padang? Saya tak tau. Ada polis, ada pak guard dan ada anggota Jabatan Pertahanan Awan dan beberapa orang awam yang berkeliaran.

Saya segera meneruskan perjalanan pulang ke Teluk Intan. Tambahan pula isteri tersayang saya sedang menanti (bukan saya seorang begitu tetapi begitulah pada umum yang berumahtangga).

Hanya di rumah baru tahu - selepas ada berita melaporkan - beberapa mahasiswa telah membuat "kecoh".

Habis ‘kepoh’ jadinya angkara si Anis dan kawan-kawannya. Malangnya saya tidak tahu lebih awal. Kalau saya tahu, saya akan berhenti dan menjadi saksi.

Tadi, apabila saya melewati UiTM Seri Iskandar, saya tersenyum sendiri. Dan hari-hari mendatang pasti tempat itu sungguh menyenangkan saya. Kerana masih ada anak muda mahu bersuara sedangkan masih ada si tua yang sendat otaknya untuk bergerak.

Saya malas nak tulis tapi naif benar jika dibiar keberanian yang sekemut ini diperbesar-besarkan 'kesalahannya' seolah-olah kita tidak pernah jejak universiti dan pernah muda!


DR MUHAIMIN SULAM aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei

Lihat Komen
ADS