Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Permohonan maaf Tun Dr Mahathir Mohamad kerana meminda Perlembagaan Persekutuan dengan mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong disifatkan sebagai langkah terbaru bekas perdana menteri itu untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata ini kerana Mahathir sepatutnya gembira apabila cadangan beliau diterima pakai oleh pemerintah perdana menteri kini.

Namun, sebaliknya pula berlaku apabila beliau bertindak sedemikian.

“Sebenarnya Tun M (Mahathir) patut suka dan bersyukur sebab beliau yang minta (pinda perlembagaan), itu kehendak dan cadangannya tetapi sekarang beliau minta maaf untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa dia rasa bersalah buat cadangan itu.

“Bagi saya ini permainan politik disebalik permohonan maaf beliau,” kata Ramlah ketika dihubungi Malaysiakini.

Mahathir dalam blognya tengah malam tadi berkata, beliau memohon maaf kerana meminda Perlembagaan Persekutuan yang membuat kelulusan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak lagi menjadi keperluan untuk menjadikan suatu akta sebagai undang-undang.

"Saya ingin memohon maaf atas pindaan kepada perlembagaan itu, yang membuat kelulusan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak lagi perlu untuk menjadikan suatu akta sebagai undang-undang.

"Ia kelihatan (oleh) kerana pindaan itu, (Akta Majlis) Keselamatan Negara yang baru telah mula berkuatkuasa walaupun Yang di-Pertuan Agong tidak menandatanganinya," tulis Mahathir.

Bagaimanapun, Mahathir menegaskan apa sahaja yang mempunyai kaitan dengan hak Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat, masih memerlukan tandatangan baginda.

Mengulas lanjut, Ramlah berkata, beliau percaya bahawa Mahathir tidak akan melaksanakan cadangan tersebut sekiranya masih memerintah negara.

Bagaimanapun, adalah jelas tindakan bekas pemimpin veteran Umno ini sengaja berbuat demikian bagi meletakkan kesalahan tersebut kepada pentadbiran Najib.

“Jika berlaku pada zaman Tun M, mungkin ia tidak akan dilaksanakan.

“Kuasa PM kini lebih kuat sebab PM bukan sahaja ada kuasa mentadbir, membuat undang-undang dan juga mengisytihar darurat. PM sekarang boleh guna bidang kuasanya untuk mengekang apa saja pemberontakan dan konflik politik.

“PM dan barisan kabinet sekarang mempunyai kuasa jadi apa-apa jadi esok pentadbiran sekaranglah yang akan dipersalahkan. Itulah tujuannya minta maaf.

“Di mana beliau hendak memberitahu pada rakyat bahawa Najib yang bertanggungjawab yang membuat undang-undang pindaan perlembagaan bagi memindahkan kuasa kepada PM,” kata Ramlah.

Kata Ramlah, dalam bahasa mudahnya permohonan maaf itu dibuat bagi melemahkan pentadbiran Najib.

“Dalam bahasa budak-budak, bolehlah cakap ini agenda terbaru Tun M untuk jatuhkan Najib dan ini juga akan melemahkan perdana menteri.

“Ini satu cabaran baru kepada Najib di mana dia minta cadang pindaan tetapi dilaksanakan ketika pemerintahan Najib. Kira Najib bersalah jugalah pindah kuasa Agong.

“Kalau tidak ada apa agenda, beliau mesti gembira dan tak ada sebab nak minta maaf,” kata Ramlah.

Sementara itu, anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Rahman pula menyifatkan permohonan maaf Mahathir itu bagi membolehkan dirinya keluar dari kemelut sedia ada.

“Kita kena faham Tun M, semua ini mainan politik beliau dan dia punya strategi. Ini cara beliau untuk keluar dari kemelut dan bila tak ada jalan lain, minta maaflah,” kata Tajuddin.

Akta MKN memberi perdana menteri kuasa untuk mengisytiharkan zon keselamatan, di mana pasukan keselamatan akan mengambil alih.

Pengkritik berkata, ia serupa dengan mengisytiharkan darurat, sesuatu yang hanya Yang di-Pertuan Agong boleh lakukan.

Pada tahun 1994, kerajaan yang diterajui Mahathir meluluskan pindaan perlembagaan untuk membolehkan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen dan Senat untuk menjadi undang-undang dalam tempoh 30 hari, tidak kira sama ada Yang di-Pertuan Agong memberikan perkenannya.

Pada 17 Februari lalu, Majlis Raja-Raja meminta Rang Undang-Undang MKN diperhalusi, tetapi ini tidak dilakukan.

Kemudian, mengikut warta negara, Rang Undang-Undang MKN secara automatik diperkenankan pada hari berikutnya, pada 18 Februari, sepertimana pindaan yang dibuat oleh pentadbiran Mahathir itu.

Rang undang-undang itu telah diwartakan menjadi undang-undang pada bulan Jun, dan berkuat kuasa pada 1 Ogos lalu.

Lihat Komen
ADS