Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bantah Akta 355: PAS mahu dialog dengan Persatuan Hokkien

PAS kini menunggu tarikh rasmi daripada Persatuan Hokkien Malaysia untuk mengadakan sesi dialog berhubung pindaan Akta 355.

Timbalan Ketua Penerangannya, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, sesi dialog itu bertujuan bagi memberi penerangan kepada persatuan berkenaan berhubung pindaan akta yang dibawa oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen Mac lalu.

Sesi dialog itu diadakan susulan tindakan Persatuan Hokkien Malaysia melancarkan kempen mengumpul sejuta tandatangan untuk menolak pindaan Akta 355 berkenaan.

"Kita sedang menunggu tarikh untuk sesi dialog. Kedua-dua pihak secara rasmi ada bertemu.

"Kita tak pertikaikan hak Persatuan Hokkien tetapi kita lihat dari sudut pendekatan kedua-dua pihak antara PAS dan Persatuan Hokkien untuk berbincang dengan lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu negara hari ini.

Selain itu, Roslan berkata, PAS secara terbuka menerima sebarang jemputan untuk memberikan penerangan kepada mana-mana pihak yang 'keliru' dengan pindaan akta tersebut.

"Khususnya mana-mana pihak yang cuba membantah atau menentang pindaan kita, kita akan usaha pihak yang menentang itu untuk adakan pertemuan.

"Setakat ini mana-mana jemputan, kita akan hadir sama ada daripada NGO atau swasta kita akan hadir," katanya lagi.

Sebelum ini, Persatuan Hokkien Malaysia melancarkan kempen mengumpul sejuta tandatangan daripada rakyat bagi menentang rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah, Akta Mahkamah Syariah (bidangkuasa jenayah) 1965 (Akta 355) dan Enakmen Jenayah Syariah (II) 1993 (Kelantan).

Menurut persatuan berkenaan, pindaan itu dikatakan akan merintis jalan supaya hukuman hudud dapat dilaksanakan di negara ini.

Presiden Persatuan Hokkien Malaysia, Tan Sri Khoo Chai Kaa berkata, selepas 20 September, tandatangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada semua 222 anggota Parlimen.

Berikutan kempen tersebut, Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulamak (GU) atau Geng Ustaz membuat laporan polis Rabu lalu.

Mereka mendakwa tindakan tersebut adalah campur tangan melampau dan melanggar sempadan kebebasan mengamalkan aktiviti beragama yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Lihat Komen
ADS