Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GM syarikat perbankan turut ditahan SPRM
Diterbitkan:  Aug 27, 2016 2:21 PM
Dikemaskini: 6:23 AM

Seorang pengurus besar sebuah syarikat berkaitan kerajaan antara sepuluh individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dipercayai atas kesalahan salah guna kuasa dan terbabit rasuah.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata pengurus besar berusia 40-an itu ditahan di ibu pejabatnya iaitu sebuah syarikat perbankan pada Khamis lepas dalam operasi enam jam bermula pukul 2 petang.

"Kita menahan mereka di beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan Pahang. Antara yang ditahan adalah beberapa kontraktor dan pihak swasta.

"Kesemua mereka ditahan reman bermula semalam bagi membantu siasatan," katanya kepada Bernama hari ini.

Susulan penahanan itu, SPRM turut membekukan RM10 juta daripada beberapa akaun milik beberapa individu terbabit.

Pada Khamis lepas, seorang pengarah urusan sebuah syarikat perbankan yang sama bergelar Datuk turut ditahan SPRM, dipercayai atas kesalahan salah guna kuasa dan terlibat rasuah.

Ia dipercayai melibatkan kes berkaitan tender pertukaran sistem bank dan penerbitan buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara.

SPRM kini melancarkan operasi besar-besaran untuk menangkap mereka yang menyalahgunakan kuasa dan mempunyai kehidupan melebihi kemampuan, selaras dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad, yang mahu membersihkan perkhidmatan awam daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS