Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai kanan DBKL yang direman, dibebas dengan jaminan SPRM
Diterbitkan:  Aug 27, 2016 2:35 PM
Dikemaskini: 6:37 AM

Pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergelar 'Datuk Seri' yang sebelum ini direman 12 hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram, dibebaskan hari ini.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahim membenarkan lelaki berusia 54 tahun itu dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM300,000 selepas tempoh remannya itu berakhir hari ini.

Lelaki itu sebelum ini ditahan reman tujuh hari bermula 16 hingga 22 Ogos lepas dan kemudiannya disambung reman selama lima hari lagi sehingga hari ini.

Reman lelaki itu disambung selepas SPRM mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk melakukan beberapa lagi siri penggeledahan, merakam kenyataan kontraktor yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek selain mendapatkan dokumen-dokumen penting berhubung kes berkenaan.

Pegawai itu ditahan pada 3.07 petang 15 Ogos lepas di pejabatnya di bangunan DBKL, Kuala Lumpur.

Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 serta 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Di bawah Akta SPRM 2009, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau mana yang lebih tinggi.

Bagi Akta Pengubahan Wang Haram pula, pelaku berdepan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, seorang ahli perniagaan yang direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah lebih RM500,000 membabitkan projek pembalakan di pantai timur, turut dibebaskan hari ini.

Nik Isfahanie Tasnim membenarkan lelaki itu dibebaskan dengan jaminan RM10,000.

Lelaki berusia 64 tahun bergelar 'Datuk' itu sebelum ini ditahan oleh SPRM untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

- Bernama

Lihat Komen
ADS