Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mufti: Umat ​​Islam patut bantu perjelas kenyataan 'kafir harbi' saya

Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata umat Islam sepatutnya membantu beliau dalam menjelaskan tentang istilah 'kafir harbi'.

Sambil membidas mereka yang tidak menghormati mufti-mufti, Abdul Rahman berkata sepatutnya pertubuhan Islam dan umat Islam turut membantu membetulkannya supaya masyarakat bukan Islam faham dan tidak keliru.

Abdul Rahman menegaskan demikian dalam satu sidang akhbar yang dianjurkan Gabungan NGO Islam Malaysia di Putrajaya hari ini.

Menjelaskan kenyataan kontroversinya di mana beliau melabel DAP sebagai 'kafir harbi', Abdul Rahman berkata, walaupun perkataan 'harbi' bermakna 'perang', mungkin bukan itu yang beliau maksudkan.

"Saya kata siapa yang menentang, kita boleh tentang. Menentang itu bukan dengan parang, pistol. Maksud saya ialah menentang dari segi ideologi. Kita kena perang macam kita membasmi kemiskinan dan memerangi dadah," katanya.

Katanya, mereka yang memfitnah Islam mesti ditentang, tetapi ia "bukan maksud kita nak tembak dia, tidak".

"Sepatutnya kita sesama Islam kita perjelaskan, ‘oh, mufti cakap begini, mungkin begini, tapi dia kata mufti tak betul, sepatutnya tak boleh guna perkataan begini," katanya.

Abdul Rahman dipetik oleh Utusan Malaysia pada bulan Jun sebagai melabel DAP sebagai kafir harbi.

Menghukum mana-mana pihak atau individu sebagai kafir harbi dikatakan adalah hukuman yang berat kerana kafir harbi ini sampai ke tahap boleh dibunuh.

Abdul Rahman juga dipetik sebagai memberi amaran bahawa ia adalah satu dosa besar bagi umat Islam untuk bekerjasama dengan DAP, yang lantang menentang pelaksanaan undang-undang Islam.

Abdul Rahman kemudiannya telah menjelaskan bahawa kenyataan beliau tidak hanya ditujukan kepada DAP tetapi semua mereka yang menentang Islam.
 

[Baca berita penuh]

  

Lihat Komen
ADS