Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Orang ramai tak naik HSR jika harga telalu mahal'

Pakar berpendapat struktur harga tambang Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura memainkan peranan penting dalam menarik lebih ramai penumpang menggunakan pengangkutan itu.

Pengarah Eksekutif KGV International Property Consultants, Samuel Tan berkata, kajian menunjukkan tiket HSR tidak boleh berharga lebih 40 peratus kos pemanduan harian orang ramai, termasuk tol dan perbelanjaan petrol.

"Orang ramai tidak akan memilih HSR jika harganya telalu mahal, oleh itu ia tidak akan membantu mengurangkan kesesakan jalan raya dan bertentangan dengan objektif untuk menggalakkan orang ramai menggunakan kereta api," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama pada majlis 'Simposium Hartanah The Edge mengenai HSR', hari ini.

Tan berkata, berapa banyak yang perlu dibelanja oleh orang ramai daripada pendapatan bersih yang dibawa pulang adalah satu lagi faktor untuk dipertimbangkan dalam menentukan harga tiket kereta api berkenaan.

"Jika mereka perlu berbelanja pada peratusan lebih tinggi daripada gaji dibawa pulang ke atas HSR, ini akan membebankan dan menghalang mereka daripada menggunakan kemudahan tersebut," katanya.

Pengerusi Eksekutif Savills (Malaysia) Sdn Bhd, Christopher Boyd, yang bersetuju dengan pandangan Tan berkata, adalah penting untuk pengendali kereta api itu menawarkan tambang khas untuk pengguna yang menggunakannya setiap hari untuk berulang alik dari Putrajaya dan Seremban.

"Jika tidak, mereka akan terus memandu untuk ke tempat kerja," katanya.

Beliau juga berkata, pengendali kereta api juga perlu memastikan harga tiket akan kekal stabil dan tidak meningkat dalam tempoh setahun dua, agar ia akan menggalakkan orang ramai menimbang menggunakan kemudahan itu sebagai mod pengangkutan jangka panjang mereka.

"Tetapi untuk mereka yang membuat perjalanan dari KL ke Singapura, saya berpendapat mereka bersedia membayar harga tinggi sedikit kerana HSR akan memendekkan masa perjalanan mereka," katanya.

Mengenai kesambungan di sepanjang stesen, Tan berkata, kerajaan atau pemaju perlu memastikan stesen terlibat diintegrasikan dengan mod pengangkutan lain bagi membolehkan perkhidmatan pintu ke pintu.

"Mereka mesti menawarkan perantara sambungan terbaik, perkhidmatan bas ulang alik dan teksi di stesen terlibat bagi meggalakkan lebih ramai pengguna," katanya.

Beliau tidak menolak fakta yang perkhidmatan perkongsian seperti Uber dan GrabCar akan berkembang pesat di kawasan kecil itu kerana orang ramai kini lebih gemar menikmati perkhidmatan pintu ke pintu.

"Akhirnya ini akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan di bandar kecil di sepanjang stesen kereta api dan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara," tambahnya.

Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian HSR bersejarah itu pada 19 Julai 2016, menandakan dalam tempoh 10 tahun lagi, pengguna akan mampu sampai ke destinasi antara dua bandar raya berkenaan dalam hanya 90 minit.

Laluan itu dijangka mempunyai lapan stesen iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

- Bernama

Lihat Komen
ADS