Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahdzir: Elak bawa pelajar ke perhimpunan haram

Masyarakat dan ibu bapa diminta tidak mengheret anak-anak mereka atau pelajar sekolah menyertai perhimpunan haram.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pelajar sekolah tidak akan hadir secara bersendirian ke tempat seperti itu kerana kebiasaannya mereka dibawa ibu bapa atau penjaga.

"Kalau boleh pelajar sekolah ini kita elakkanlah hadir ke tempat seumpama itu... sebab nawaitu penganjuran (perhimpunan) itu sendiri pun dah tak berapa elok.

"Eloklah kalau kita elakkan tempat seumpama itu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Batu Kawan, di Butterworth hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pelajar sekolah turut terlibat dalam perhimpunan haram antikerajaan di ibu negara semalam.

Mahdzir berkata beliau tidak mendapat maklumat berhubung penglibatan pelajar sekolah dalam perhimpunan haram itu.

Dalam pada itu, beliau yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno turut menasihatkan mahasiswa untuk tidak turut serta dalam sebarang perhimpunan haram.

"Kita pun pernah jadi mahasiswa. Kita pun nak yang paling ideal. Kita takkan dapat yang idealis. Jadi, kita carilah benda yang praktikal. Tak payahlah buat sesuatu yang menyusahkan masyarakat dan ibu bapa.

"Buatlah benda-benda yang memberi kesan yang positif kepada kehidupan dan proses pembelajaran kita. Akhirnya nanti kita akan keluar universiti dan akan pergi kepada masyarakat. Sampai bila nak jadi aktivis masyarakat, tak kahwin, tak cari makan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS