Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tajuddin: Penafian Dr M terhadap surat ISA bohong

Penafian Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu menandatangani surat penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
adalah satu pembohongan, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata Dr Mahathir yang cuba membersihkan namanya berhubung isu berkenaan tidak boleh diterima kerana hanya Menteri Dalam Negeri, yang ketika itu disandang bekas perdana menteri itu, yang berkuasa mengeluarkan arahan penahanan tersebut.

Beliau berkata tindakan Dr Mahathir yang cuba mengalihkan tanggungjawab berkenaan kepada bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob adalah tidak adil.

"Saya seorang tahanan ISA untuk disoal siasat pada 1987 ketika Operasi
Lalang dan saya yakin Dr Mahathir yang mengeluarkan arahan untuk penahanan itu.

"Sebagai tahanan, saya diberitahu selagi Menteri Dalam Negeri tidak
menandatangani surat perintah bebas dalam tempoh 60 hari, saya tidak boleh dibebaskan," katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan perwakilan Pergerakan Puteri dan Pemuda UMNO Bahagian Bayan Baru di George Town hari ini.

Pada Rabu lepas, Dr Mahathir menafikan dakwaan yang mengaitkan namanya sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam isu menandatangani surat penahanan ISA.

Dr Mahathir berkata Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid iaitu anak
kepada Allahyarham Megat Junid lebih menge­tahui berhubung dakwaan tersebut. Megat Fairouz sebelum ini, meminta Dr Mahathir berhenti mendakwa arwah bapanya sebagai individu yang bertanggungjawab menandatangani perintah tahanan ISA sepanjang 11 tahun menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Perkara itu timbul berikutan baru-baru ini, beberapa blog menyiarkan
kenyataan bekas perdana menteri itu yang mendakwa tindakan penahanan ISA bukan dilakukan olehnya tetapi oleh Megat Junid.

Mengulas lanjut, Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat membuka fail lama mereka bagi memberi pengesahan kepada isu tersebut sekiranya perkara itu berlarutan.

"Kesemua persoalan akan terjawab sekiranya KDN atau PDRM dapat membuka fail lama mereka untuk menjelaskan perkara tersebut," katanya.

Beliau berkata cubaan Dr Mahathir untuk 'mengasingkan diri' dengan ISA
berkemungkinan disebabkan jalinan politiknya dengan pihak pembangkang seperti DAP, PKR dan Parti Amanah Negara.

"Dia (Dr Mahathir) cuba membersihkan namanya dengan ISA kerana ketika ini dia sedang bekerjasama dengan pembangkang, jadi dia tolak tanggungjawab itu kepada orang lain," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS