Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Dr M letak Zahid dalam ISA kerana timbulkan isu rasuah, kronisme'
Diterbitkan:  Aug 29, 2016 11:56 AM
Dikemaskini: 4:22 AM

Penahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa era Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa kerana kelantangannya memperjuangkan penghapusan kronisme, korupsi dan nepotisme.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata beliau juga menerima nasib yang sama seperti Zahid apabila dipinggirkan daripada pentas politik tanah air, lapor Utusan Malaysia.

Turut terkena tempias yang sama ialah Ketua Umno Bahagian Kulim Bandar Baru Datuk Abd. Aziz Sheik Fadzil serta beberapa exco Pemuda Umno.

“Ingat dulu kenapa (Tun) Mahathir marah sangat dengan Zahid sampai sanggup letakkan beliau dalam ISA? Sebab utamanya kerana Ahmad Zahid dan kami ketika itu timbulkan isu mengenai kronisme, korupsi dan nepotisme sehingga akhirnya ‘membayar’ dengan disingkirkan daripada kedudukan.

“Kami bersama dengan satu kumpulan dengan tekad menjalankan politik secara telus tetapi Aziz ke parit, saya hampir ke laut manakala Ahmad Zahid dikenakan ISA.

“Begitu pun kami tidak berputus asa kerana kalau kami tak teruskan, maka orang yang kami nak halang daripada melakukan kronisme, korupsi dan nepotisme itu akan terus berkuasa dan Alhamdulillah Ahmad Zahid kini menjadi Timbalan Perdana Menteri,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Pada September 1998, Zahid yang ketika itu merupakan Ketua Pemuda Umno ditahan di bawah ISA bersama empat pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Beliau ditahan mengikut Seksyen 73 (1) (a) ISA kerana didakwa mendatangkan kemudaratan kepada keselamatan negara.

Penahanan Zahid itu dibuat sehari selepas penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan, Ruslan Kassim di bawah akta yang sama.

Lihat Komen
ADS