Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan Selangor menyelaraskan harga pembelian pangsapuri perkhidmatan, SOHO (rumah pejabat) dan Sovo (pejabat maya di rumah) dan tidak timbul isu diskaun bumiputera dimansuhkan.

Exco kerajaan negeri Datuk Teng Chang Khim berkata, wujud cadangan harga untuk pembelian ketiga-tiga kategori hartanah itu diturunkan sebanyak 10 peratus melibatkan golongan berpendapatan rendah atau sederhana.

"Cadangan harga untuk SOHO, Sovo mampu milik kita telah pun turunkan daripada harga cadangan tersebut untuk (kategori) mampu milik.

"Ini kita berikan kepada golongan berpendapatan rendah atau sederhana, jadi tidak ada sebab yang bumiputera diberi diskaun dan bukan bumiputera tidak diberi diskaun.

“Sebab sama-sama miskin," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau turut mengesahkan perkara itu telah ditetapkan akan berkuatkuasa pada 1 September ini.

"Tidak ada soal kita mansuhkan (diskaun bumiputera), tetapi kita turunkan harga dan selaraskan untuk semua," katanya.

Terdahulu, Kerajaan Selangor dilaporkan akan melaksanakan garis panduan pembangunan baru bermula 1 September ini.

Dalam garis panduan itu, lapor Nanyang Siang Pau, 10 peratus diskaun bumiputera bagi pembelian pangsapuri perkhidmatan, SOHO (rumah pejabat) dan Sovo (pejabat maya di rumah) akan dimansuh.

Bagaimanapun, kuota jualan 30 peratus untuk bumiputera akan diteruskan seperti biasa.

Teng berkata garis panduan baru ini akan memberi manfaat kepada semua pihak, termasuk kerajaan negeri, pemaju dan pembeli – yang disifatkannya sebagai situasi “win-win-win”.

Teng juga dilaporkan berkata, bawah garis panduan baru, harga jualan pangsapuri perkhidmatan ditetapkan antara RM250,000 hingga RM270,000 seunit serta RM230,000 seunit bagi SOHO dan Sovo.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali pada 23 Ogos lalu berkata kerajaan negeri bakal memperkenalkan dasar bari menyediakan ruang perniagaan kepada golongan usahawan muda yang baru menceburi perniagaan dan tidak memerlukan ruang pejabat besar.

Keputusan itu diluluskan dalam mesyuarat exco seminggu sebelum itu.

Lihat Komen
ADS