Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu diskaun bumi: NGO Melayu tuntut penjelasan S'gor

Beberapa NGO Melayu hari ini menuntut kerajaan negeri Selangor memberikan penjelasan mengenai pemansuhan 10 peratus diskaun bumiputera bagi pembelian tiga kategori hartanah bermula September ini.

Hartanah yang terlibat ialah dari kategori pangsapuri perkhidmatan, SOHO (rumah pejabat) dan Sovo (pejabat maya di rumah).

Presiden ISMA Abdullah Zaik Abdul Rahman (gambar) berkata, penjelasan wajar diberikan segera memandangkan rakyat kini tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi.

Selain itu katanya, kerajaan negeri Selangor perlu menggantikan pemansuhan diskaun itu dengan intensif lain supaya Melayu Bumiputera tetap mendapat manfaat.

“Kita tak faham kenapa keputusan itu diambil di waktu ini, adakah kerajaan negeri kekurangan kewangan, fiskal atau menghadapi masalah pengurusan kewangan.

“Sekarang kita tengok harga rumah makin mahal, hatta harga kuota pun tak mampu dibeli, jadi kalau peruntukan itu dihapuskan tanpa digantikan dengan benda lain ia akan membuatkan bumiputera terus terpinggir.

"Jadi, jika ia ditarik balik kesannya bumiputera akan terus tercicir,” katanya kepada Malaysiakini.

Hari ini, akhbar Nanyang Siang Pau melaporkan kerajaan Negeri Selangor dalam garis panduannya akan menghapuskan 10 peratus diskaun pembelian tersebut.

Bagaimanapun, kuota jualan 30 peratus untuk bumiputera akan diteruskan seperti biasa.

Sementara itu, dalam reaksinya, Exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim (gambar) berkata, kerajaan negeri membuat pelarasan harga pembelian tiga kategori hartanah tersebut dan tidak timbul isu diskaun bumiputera dimansuhkan.

Ujar Teng, wujud cadangan harga untuk pembelian ketiga-tiga kategori hartanah itu diturunkan sebanyak 10 peratus melibatkan golongan berpendapatan rendah atau sederhana.

"Cadangan harga untuk SOHO, Sovo mampu milik kita telah pun turunkan daripada harga cadangan tersebut untuk (kategori) mampu milik.

"Ini kita berikan kepada golongan berpendapatan rendah atau sederhana, jadi tidak ada sebab yang bumiputera diberi diskaun dan bukan bumiputera tidak diberi diskaun.

“Sebab sama-sama miskin," tambah Teng.

Mapim mahu insentif ganti

Bagi Presiden Majlis Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Azmi Abdul Hamid pula, kerajaan negeri perlu menjelaskan rasional mereka menamatkan diskaun itu.

Katanya, bumiputera yang berpendapatan rendah wajar dibantu bagi memiliki kediaman mereka dan jika diskaun itu ditarik balik, intensif lain perlu diganti bagi meringankan beban mereka.

“Jelaskan rasional, apakah asas untuk menamatkan diskaun itu dan jelaskan kepada rakyat negeri Selangor.

“Kita rasa memang daya beli bumiputera rumah-rumah sederhana mewah masih lagi perlu dibantu terutama di kawasan-kawasan bandar-bandar utama, kita berpandangan supaya diberikan insentif yang lain kalau sepuluh peratus itu ditarik,” katanya.

IKRAM: Ambil juga maklum balas rakyat

Selain itu, Naib Presiden IKRAM Zaid Kamaruddin berkata, rakyat mempunyai hak untuk mengetahui mengapa diskaun itu ditarik balik.

Katanya, langkah itu halus dihalusi supaya ia memberikan kebaikan kepada rakyat.

“Kerajaan negeri Selangor perlu jelaskan dan pastikan ia baik untuk rakyat dan pastikan langkah ini kebaikan untuk rakyat, itu asasnya.

“Hak rakyat untuk tahu dan lebih baik kalau dia dapatkan maklum balas rakyat mengenai isu ini. Dan ambil juga maklum balas dari rakyat juga,” katanya.

Lihat Komen
ADS