Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'K'jaan diminta pantau fahaman Salafi Jihadi'
Diterbitkan:  Aug 29, 2016 6:25 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Kerajaan diminta memantau individu disyaki penyebar fahaman salafi jihadi di negara ini terutama yang mempunyai jawatan dalam perkhidmatan awam.

Timbalan Setiausaha Pertubuhan Ahli Sunnah Asya'irah Wilayah Utara (Penawar) Bakri Basir berkata, individu terbabit yang menggunakan pandangan Ibnu Taimiyyah dibimbangi boleh menjadi pencetus kepada pemberontakan dan penentangan terhadap umat Islam yang lain.

"Apabila pihak keselamatan mendedahkan fahaman ini dijadikan sandaran untuk Daesh melakukan keganasan, kami sedar ada pihak cuba menentang pihak keselamatan, mereka ini, status sebahagiannya adalah yang memegang jawatan tertentu bahkan di dalam kerajaan atau di mana-mana negeri," katanya dalam sidang akhbar di Jitra, hari ini.

Beliau berkata individu terbabit perlu disiasat bagi mengenal pasti kaitan mereka dengan militan Daesh demi keselamatan negara.

Sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan kumpulan militan Daesh menggunakan petikan atau fatwa daripada Ibnu Taimiyyah dalam hujah mereka untuk menjustifikasi tindakan ganas yang dilakukan.

Sementara itu, Pengerusi Ahli Sunnah Wal Jamaah Kedah, Abdul Muiz Abdul Roni berkata kerajaan perlu menggubal akta yang boleh memberikan kuasa kepada Polis Diraja Malaysia untuk mengambil tindakan terhadap individu dan organisasi yang mengamal serta menyebar fahaman bertentangan dengan amalan Ahlus Sunnah Wal Jamaah di negara ini.

"Kami juga memohon semua agensi pendidikan khususnya pendidikan Islam supaya memberi sokongan penuh dalam memurnikan dan memantapkan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah di seluruh negara," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS