Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Slogan ‘Wi Gok Skali’ bagi rampas semula Kuala T'ganu
Diterbitkan:  Aug 29, 2016 6:51 PM
Dikemaskini: 10:59 AM

Umno bahagian Kuala Terengganu akan menampilkan slogan ‘Wi Gok Skali’ bagi meraih undi rakyat khusus di kawasan parlimen itu menjelang pilihan raya umum ke-14, kata ketuanya, Datuk Mohd Sabri Alwi.

Memetik laporan Sinar Harian Online, pada masa yang sama, ujar Mohd Sabri, slogan ‘Cekap Cakna Cepat’ akan tetap digunakan untuk tujuan yang sama.

Jelas beliau, ‘Wi Gok Skali’ adalah slogan yang menggunakan dialek Terengganu bermaksud ‘berilah sekali’ yang bersifat pemujukan kepada rakyat untuk memberi undi kepada BN.

Menurutnya, ia dipilih kerana dilihat lebih menarik dan dekat dengan rakyat Terengganu sendiri di samping boleh dimainkan dengan intonasi lembut yang sesuai dengan budaya negeri ini.

“Slogan ini akan digunakan di kesemua kerusi khususnya di Parlimen Kuala Terengganu menjelang PRU14 dan kita pilih berdasarkan persetujuan bersama ketika ‘retreat’ bersama-sama Jawatankuasa Umno Bahagian Kuala Terengganu baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Pengagihan Bendera Jalur Gemilang di hadapan Pejabat Umno Bahagian Kuala Terengganu, Gong Kapas.

BN mengalami kekalahan yang teruk di Parlimen Kuala Terengganu apabila kerusi parlimen dan kesemua empat kerusi DUN iaitu Bandar, Ladang, Batu Burok dan Wakaf Mempelam jatuh ke tangan pembangkang pada PRU lepas.

Mengulas lanjut, bagaimanapun, Mohd Sabri tetap memandang potensi BN di kawasan itu secara optimis untuk memenangi semula kerusi di bahagian tersebut.

“Kita melihat sekarang ini ada petanda yang baik di Parlimen Kuala Terengganu. Kesemua lima kerusi dulu pernah dimenangi BN dan dulu adalah kubu kita. Jadi untuk kita capai kemenangan adalah agak cerah,” katanya.

Lihat Komen
ADS