Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis panggil MP beri keterangan kerana himpunan #TangkapMO1

Ahli Parlimen DAP Teo Kok Seong dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis berhubung perhimpunan #Tangkap MO1.

Menurut Teo, beliau bukan salah seorang penganjur dan tidak terfikir akan dipanggil polis untuk memberi keterangan.

"Saya bukan penganjur. Kehadiran saya adalah untuk menyokong kumpulan pelajar.

"Saya dijemput untuk bercakap di atas sebuah lori di Masjid Negara, mungkin itulah sebabnya saya dipanggil," katanya kepada Malaysiakini.

Ahli Parlimen Rasah itu berkata polis memanggilnya untuk memberi keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Teo dijangka memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi esok.

Selain Teo, penganjur perhimpunan itu dan beberapa aktivis juga dipanggil untuk memberi keterangan.

Antaranya ialah jurucakap #TangkapMO1 Anis Syafiqah Md Yusof dan rakan-rakan pelajar Luqman Nul Hakim, Aqilah Zainuzi, Luqman Hakim dan Suhail Wan Azahar.

Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Amir Abd Hadi dan aktivis Isaiah Jacob juga dijangka memberi keterangan kepada pihak polis.

Seperti Teo, semua tujuh daripada mereka akan memberikan keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Perhimpunan #TangkapMO1 yang diadakan Sabtu lepas adalah usaha memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat 'Malaysian Official 1' yang disebut dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

MO1 adalah individu yang memperolehi AS$731 juta daripada dana 1MDB yang didakwa diseleweng.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan kumpulan itu berkumpul di Dataran Merdeka.

Notis yang diserah penganjur kepada polis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 juga dikatakan tidak sah sekiranya tidak mendapat kebenaran DBKL.

Perhimpunan itu menyaksikan lebih 1,000 membanjiri jalan-jalan berhampiran Dataran Merdeka dan berakhir dengan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Lihat Komen
ADS