Paling Popular
Terkini
story images
story images

Anggota parlimen DAP Teo Kok Seong dan Ketua Angkatan Muda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad serta enam mahasiswa dan seorang aktivis dipanggil memberi keterangan berhubung perhimpunan #Tangkap MO1 pada Sabtu lalu.

Mereka tiba di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi bagi berbuat demikian.

Peguam mereka, Melissa Sasidaran berkata, mereka disiasat bawah seksyen seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan yang melibatkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam, Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman.

Selain itu Melissa berkata, siasatan itu mungkin turut meliputi Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 124B Kanun Keseksaan iaitu aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen, bagaimanapun pihak polis akan memaklumkan kepadanya nanti.

“Sama ada mereka akan didakwa belum tahu, kita gembira kerjasama yang diberikan polis dan mereka tidak ditahan lokap dan direman. Tapi kita kecam mahasiswa-mahasiswa dan aktivis-aktivis ini dipanggil siasat kerana buat perhimpunan aman.

“Sedangkan MO1 yang kita dah tahu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan kata, semua orang tahu bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan dia masih bebas pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di IPD Dang Wangi setelah kenyataan mereka dirakamkan lebih dua jam, bermula 11 pagi.

Enam lagi mahasiswa yang dipanggil ialah Anis Syafiqah Md Yusof, Aqilah Zainuzi, Amir Abd Hadi, Luqman Hakim, Luqman Nulhakim dan Suhail Wan Azahar.

Turut hadir aktivis Isaiah Jacob.

Melissa berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa lebih ramai lagi pihak yang akan dipanggil memberikan kenyataan terutamanya pihak yang memberikan ucapan ketika perhimpunan itu.

“Saya dimaklumkan mereka yang beri ucapan akan dipanggil, cuma kita minta mereka tunggu panggilan dari pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Anis berkata beliau terkilan mereka dipanggil memberikan kenyataan pada hari ini bagaimanapun berharap prosedur siasatan dapat berlangsung dengan baik.

“Terima kasih pada polis beri kerjasama yang baik semasa beri keterangan dan cuma kami mahasiswa terkilan, kami yang anjur perhimpunan aman, tapi dipanggil beri keterangan.

“Harap selepas ini prosedur dapat dapat dijalankan dengan baik, kami tuntut keadilan sebagai mahasiswa dan rakyat Malaysia,” katanya.

Lihat Komen
ADS