Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP tuntut pengakuan dari mulut MO1 sendiri
Diterbitkan:  Sep 2, 2016 4:31 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Penjelasan berkaitan identiti Malaysian Official 1 (MO1) nampaknya tidak cukup memuaskan hati anggota parlimen pembangkang.

Wakil Pokok Sena (PAS) Datuk Mahfuz Omar menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri tampil menjejaskan identiti pihak yang disebut berkali-kali dalam saman sivil di Amerika Syarikat untuk menyita aset berkaitan 1MDB.

“Sebagai pahlawan Bugis, Najib sepatutnya tampil dengan berani menyatakan siapakah MO1,” sindir bekas naib presiden PAS itu, merujuk kepada darah keturunan perdana menteri.

“Najib tidak boleh membiarkan ada menteri yang cakap dan menyatakan MO1 ialah perdana menteri Najib dan ada pula menteri yang tak berani mengaku bahawa MO1 adalah perdana menteri Najib.”

Jaringan media British BBC semalam melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan sebagai mengesahkan MO1 adalah Najib.

Beliau dilaporkan sebagai berkata “jelas sekali jika kamu membaca dokumen berkenaan, ia adalah perdana menteri".

Pengarah strategi BN itu berkata DOJ tidak menyebut nama sebenar kerana Najib bukan sebahagian daripada siasatan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun enggan mengulas pengesahan itu dan meminta pemberita merujuk terus kepada Rahman.

Dalam kenyataan hari ini, Mahfuz berkata sikap berdiam diri hanya menunjukkan bahawa kabinet tidak sekata dalam penjelasan itu.

“Saya yakin PM Najib bersetuju bahawa rakyat ingin melihat perdana menteri yang berani dan bertanggungjawab.

“Berani bertanggungjawab adalah ciri pahlawan Bugis yang pernah kita baca,” katanya.

Mahfuz juga berkata kabinet dan peguam negara juga perlu sekata sama ada mereka bersetuju MO1 adalah Najib kerana ia “babak penting” dalam merungkai episod kemasukan wang berbilion ringgit dalam 'poket' MO1.

Lihat Komen
ADS