Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemimpin BN diminta tidak mengambil mudah jumlah undi kecil daripada kaum India yang dilihat mampu menyumbang kepada kemenangan parti pada pilihan raya umum akan datang.

Presiden MIC Datuk Dr S Subramaniam berkata dalam iklim politik masa kini jumlah 500 atau 800 undi daripada pengundi kaum India adalah besar dan impaknya mampu membawa kemenangan atau kekalahan sesuatu kerusi.

Sebagai contoh katanya, di Terengganu, hanya terdapat dua bahagian mempunyai pengundi India iaitu di Kemaman dan Kuala Terengganu dengan jumlah pengundi seramai 1,800 orang.

"Sebab itu, kita mahu hubungan pemimpin parti bersama para pengundi dapat ditingkatkan terutamanya di peringkat akar umbi supaya kita boleh ukur kekuatan pengundi kita, sekali gus membantu memberi kemenangan yang lebih baik kepada BN pada PRU ke-14 kelak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Konvensyen Perwakilan MIC peringkat negeri di Kuala Terengganu semalam.

Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata MIC Terengganu akan berusaha meningkatkan sokongan pengundi kaum India terhadap parti di negeri ini termasuk menjalankan pendaftaran ahli baharu serta mendekati golongan akar umbi supaya mereka boleh terus memainkan peranan yang lebih aktif.

"Kita sedang berusaha mentransformasikan masyarakat India menerusi beberapa rancangan dalam meningkatkan ekonomi, pendidikan dan sosioekonomi dengan harapan satu perubahan holistik akan berlaku kepada kaum India dan mereka akan kembali menyokong BN.

"Salah satu program adalah meningkatkan bidang pendidikan, iaitu membina asrama sekolah dan pusat pendidikan di kawasan yang mempunyai ramai pelajar India khusus untuk golongan berpendapatan rendah supaya mereka dapat menikmati pendidikan dalam suasana lebih baik sekali gus membantu mereka mencapai kejayaan.

"Perkara ini sedang dibincangkan dengan Kementerian Pendidikan dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) turut bersetuju dengan cadangan itu dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS