Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Malaysia tidak perlukan reformasi: Mahathir
Published:  Jun 21, 2001 2:11 PM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Negara ini tidak memerlukan reformasi hanya kerana rakyat negara jiran sering mengadakan tunjuk perasaan bagi menuntut perubahan sistem politik, kata Presiden Umno hari ini.

Dr Mahathir Mohamad berkata perubahan-perubahan yang didesak oleh pembangkang kini telah wujud sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

"Negara ini tidak pernah ditadbir secara autokratik ataupun oleh tentera. Rakyat bebas memilih siapa sahaja dan bukan hanya calon daripada parti kerajaan seperti yang berlaku di negara-negara lain," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra pagi tadi.

"Parti lawan juga dapat memenangi pilihan raya dan pernah mendirikan kerajaan di empat buah negeri. Dan (perubahan) ini telah berlaku berkali-kali."

Dakwanya lagi, perancang demonstrasi cuba meminta bantuan negara asing bagi mencetuskan keganasan jalanan tetapi rakyat negara ini tidak lagi berminat dengan slogan reformasi kerana perkembangan di negara jiran tidak begitu menarik.

Ucapan yang memakan masa kira-kira dua jam itu meliputi isu-isu politik wang, sikap orang Melayu, usaha PAS membentuk kerajaan, campur tangan asing dan globalisasi.

Beliau juga mengkritik bekas pemimpin Umno yang menggerakkan reformasi.

"Mereka yang inginkan reformasi, pemerintahan mengikut undang-undang dan begitu mendukung hak asasi manusia adalah mereka yang pernah menyertai kerajaan dengan senang hati. Kenapakah mereka tidak mendakwa kerajaan yang disertai itu tidak demokratik dan mencabuli hak asasi semasa mereka berada dalam kerajaan?" katanya kepada lebih 2,000 perwakilan daripada 165 bahagian Umno.

Membodek 'orang putih'

Sambil menyifatkan golongan itu sebagai "haprak," Dr Mahathir berkata mereka tunduk kepada kehendak negara-negara Barat dan "suka membodek orang putih."

"Mereka tidak biasa dengan sedikit kuasa. Apabila terdapat sahaja sedikit tempat, kepala mereka menjadi besar, maka berkokoklah mereka mengikut rentak tuan mereka," kritiknya lagi.

Perdana Menteri juga berkata usaha pakatan pembangkang untuk membentuk satu parti tidak akan bertahan lama kerana gabungan itu berlandaskan parti-parti komponen yang tidak kukuh.

"Kerajaan yang akan didirikan dengan parti-parti tertentu tetap lemah kerana sesiapa sahaja boleh menjatuhkannya. Jika parti yang berkongsi menarik diri, kerajaan campuran PAS akan jatuh," katanya.

Parti Melayu yang lemah tidak mungkin berjaya mengubah nasib kaum itu, tambahnya.

Dr Mahathir juga menuduh PAS sanggup membelakangkan kepentingan Melayu demi mendapatkan undi di kalangan masyarakat bukan Melayu.

"Dalam keghairahan untuk mendapat undi daripada pihak tertentu semua kepentingan Melayu yang diperjuangkan ini dijadikan tajuk untuk tawar-menawar. Bagi undi dan kami (PAS) sanggup gugur apa sahaja yang dianggap hak orang Melayu," katanya.

ADS