Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Hanya 44 peratus responden berbangsa Melayu merasakan perlunya seorang perdana menteri yang berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Manakala selebihnya pula berpendapat, soal kos sara hidup lebih utama berbanding memilih seorang pemimpin berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Dapatan ini diperoleh daripada kaji selidik sebuah NGO KUASA di dua negeri- Selangor dan Perak.

Ketua Eksekutif KUASA, Praba Ganesan berkata, responden ditanya soalan yang mana lebih penting, mempunyai perdana menteri lelaki Melayu, Muslim atau gaji yang menampung kos sara diri dan keluarga.

"Kita beri dua set soalan.

“Pertama soalan mengenai simbolik antaranya kepentingan satu hingga lima tentang perdana menteri Malaysia lelaki Melayu Muslim, bendera Malaysia dikibarkan oleh semua rakyat setiap ulang tahun kemerdekaan.

"Kemudian ada soalan antaranya tentang kepentingan gaji yang menampung kos sara diri anda dan keluarga, pendidikan.

“Dan set kedua ialah gabungan soalan daripada set pertama tadi.

"Pada set pertama, 57 peratus responden Melayu beri kepentingan kepada perdana menteri Melayu Muslim tetapi sebanyak 20 peratus responden menukar pendapat pada set kedua," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu negara hari ini.

Selain itu, Praba berkata, perbandingan mengikut umur pula mendapati, responden Melayu 50 tahun ke atas lebih cenderung memberi keutamaan untuk mempunyai perdana menteri yang berbangsa Melayu dan Muslim.

Bagi responden bukan Melayu pula, katanya, mereka meletakkan isu sara hidup sebagai keutamaan.

Hasil kaji selidik itu, Praba berkata isu sara hidup seperti gaji, perumahan, penjagaan kesihatan dan pendidikan berpotensi mengatasi keutamaan isu perlunya seorang perdana menteri lelaki Melayu Muslim.

Bagaimanapun, seorang perdana menteri lelaki Melayu Muslim masih mempunyai kepentingan terhadap rakyat tanpa mengira kaum dan ia menunjukkan bahawa minda rakyat dipengaruhi oleh isu berkenaan, katanya.

Sehubungan itu, Praba berpendapat, melihat daripada sudut politik beliau merasakan parti pembangkang perlu mempunyai kesedaran untuk mempunyai kepimpinan Melayu Muslim.

Berbeza dengan Umno yang memang memperjuangkan Melayu, DAP di Perak dan pembangkang di Selangor perlu mempunyai pemimpin Melayu yang dianggap penting bagi pengundi di dua negeri ini.

"DAP mungkin tak berjaya dalam pertandingan kerusi mereka. Tetapi sekutu mereka AMANAH (Parti Amanah Negara) dan PKR akan berhadapan dengan tugas sukar apabila berjuang menentang Umno tanpa PAS.

"Pembangkang tidak mempunyai kredibiliti dalam isu pucuk pimpinan Melayu yang dianggap penting kepada pengundi.

"Pakatan akan menang di Selangor tapi tidak majoriti besar pada 2013," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS