Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
De Niro terkait saman DOJ untuk dana 1MDB
Diterbitkan:  Sep 22, 2016 11:53 AM
Dikemaskini: 4:13 AM

Pemenang Oscar, Robert De Niro, menjadi nama berprofil tinggi terbaru dikaitkan dengan siasatan skandal agensi pelaburan kerajaan, 1MDB.

Dalam sebuah artikel disiarkan laman sesawang The Hollywood Reporter nama De Niro didakwa muncul beberapa kali dan dikaitkan dengan tokoh utama dalam saman sivil dikemukakan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS bagi mendapatkan semula sehingga AS$1 bilion dana dan aset berkaitan 1MDB.

Bagaimanapun De Niro dipetik sebagai berkata, dia tidak peduli namanya diheret dalam siasatan skandal kewangan peringkat global itu.

"Saya tak kisah sama ada nama saya dikaitkan dengannya. Saya tak buat apa-apa.

"Saya sedar (tentang namanya dikaitkan dengan siasatan berkenaan) tapi saya langsung tak peduli. Jika saya perlu memberitahu sesuatu kepada seseorang, saya akan katakan apa yang sepatutnya," kata aktor berusia 73 tahun itu.

Laporan portal berkenaan mendakwa De Niro mempunyai hubungan peribadi dengan Datuk Seri Najib Razak yang disebut-sebut sebagai Malaysian Official 1 (MO1) dalam saman DOJ berkenaan.

Nama MO1 dipetik sebanyak 36 kali dalam dokumen dikemukakan DOJ itu.

The Hollywood Reporter juga mendedahkan anak lelaki De Niro, Raphael, adalah ejen berdaftar mewakili penjual dua harta tanah bernilai jutaan dolar di New York yang dibeli Low Taek Jho - atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Pertemuan sempena anugerah

Hartawan Malaysia berusia 30-an itu didakwa membeli harta tanah berkenaan menggunakan wang yang diseleweng daripada dana 1MDB.

Pada Februari 2010 Low membelanjakan AS$23.98 juta (RM99.19 juta) untuk membeli sebuah emper (penthouse) mewah Park Laurel di Lincoln Square.

Harta tanah kedua - sebuah kediaman menghadap ke Central Park di tingkat 76 di Time Warner Center - dibeli pada harga AS$30.55 juta (RM126.37 juta) pada awal 2011.

Kedua-dua unit berkenaan berdepan kemungkinan dirampas pihak berkuasa AS. Kediaman di Park Laurel itu dijual kepada anak lelaki Datin Seri Rosmah Mansor, Riza Aziz, pada 2012.

Anak tiri Najib itu adalah pengasas bersama syarikat penerbitan filem Red Granite yang turut dinamakan dalam saman sivil DOJ.

Menurut The Hollywood Reporter Rosmah bertemu De Niro untuk kali pertama pada 16 April 2010 dalam sebuah majlis dihadiri ramai personaliti terkemuka AS di St Regis, New York.

Majlis itu diadakan sebagai menghargai Najib dan Rosmah yang berada di New York untu menerima Anugerah Keamanan dan Harmoni daripada Majlis Perniagaan Untuk Persefahaman Antarabangsa.

The Hollywood Reporter mendakwa tiga bulan selepas itu Rosmah membuat pelawaan peribadi kepada De Niro melawat mereka di Kuala Lumpur bagi membolehkan pelakon The Deer Hunter itu tidak lagi mendengar maklumat salah mengenai Malaysia.

Mengenai Low, De Niro dikatakan bertemu kali pertama di majlis sambutan hari lahir ahli perniagaan kontroversi itu di Las Vegas pada 2012.

Kata De Niro, Low menyatakan minatnya untuk membiayai satu daripada projek filemnya yang diarahkan Martin Scorsese, The Irishman.

"Namun ia hanya perbualan (biasa) dan berlaku lama dulu," katanya dipetik portal berkenaan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS