Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno Sabah masih kukuh, Salleh tak gentar parti Shafie

Umno Sabah bersedia berdepan dengan saingan parti bekas naib presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal dalam menghadapi pilihan raya akan datang, kata Bendahari Agung Umno, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Menurut beliau, pada akhirnya, rakyat Sabah sendiri akan memilih siapa yang layak menerajui negeri itu.

“Datuk Seri Shafie telah buat keputusan bersaing dengan kita. Dalam sistem demokrasi kita alu-alukan. Akhirnya rakyat akan buat keputusan dan saya yakin rakyat bersama kita.

“Sehingga hari ini kita lihat Umno Sabah masih kukuh dan tidak menghadapi masalah yang besar tapi kita alu-alukan penyertaan parti baru itu untuk bersaing dengan kita di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas perasmian majlis KL Converge! 2016 di KLCC, hari ini.

Shafie hari ini mengesahkan akan meneruskan perjuangan politiknya menggunakan sebuah parti sedia ada di Sabah tidak lama lagi.

Beliau hadir di pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) di Putrajaya dan katanya, pengumuman mengenai parti itu akan dibuat selepas cadangan perubahan nama, logo dan perlembagaannya diterima.

Enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai parti itu Shafie berkata ia sudah diambil alih baru-baru ini dan kini dalam proses mendapat kelulusan pihak yang berkenaan.

Harapkan pagar

Shafie, digugurkan sebagai menteri kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tahun lalu kerana lantang mengkritik beliau mengenai 1MDB.

Pada Julai lalu, beliau digantung sebagai naib presiden Umno, tetapi memilih untuk keluar parti.

Salleh, pula, adalah penyokong tegar Najib dan berkhidmat sebagai menteri multimedia komunikasi.

Sementara itu Salleh yang juga bekas ketua menteri Sabah di bawah sistem penggiliran ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui negara menggesa pihak berwajib supaya menyiasat pihak yang berkomplot membawa masuk pendatang asing tanpa izin Indonesia ke Tawau.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan rakyat di negeri itu.

“Saya harap pihak berkuasa siasat perkara ini dan jika ia benar, tindakan harus diambil kerana ‘harapkan pagar, pagar makan padi’. Mereka (anggota keselamatan yang) patut tentukan keselamatan kita.

“Pada saya ia kena atasi untuk rakyat Sabah (kerana saya) yakin bahawa keselamatan itu keutamaan kita, agar rasa selesa. Kalau tuduhan itu betul ia adalah perkara serius, saya harap tindakan diambil,” katanya.

Sebelum ini video hasil rakaman media asing berdurasi 11 minit viral di sosial media. Ia memaparkan betapa mudah pendatang asing itu mencerobohi Tawau.

Pihak polis turut telah mengenal pasti beberapa individu termasuk anggota penguat kuasa dalam paparan video itu yang viral sejak Ahad lalu.

Agenda BN belum selesai

Mengulas laporan Bloomberg baru-baru ini yang membuat spekulasi bahawa Najib mungkin mengadakan pilihan raya seawal Mac depan, Salleh berkata mengikut sistem demokrasi, kuasa membubarkan Dewan Rakyat terletak di tangan perdana menteri.

"Dalam sistem demokrasi kita, ia adalah hak Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen.

“Tujuan kami membentuk kerajaan bukan sahaja untuk mengadakan pilihan raya, ia adalah untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Menurutnya, kerajaan masih mempunyai banyak agenda untuk diselesaikan sebelum memutuskan mahu mengadakan pilihan raya.

"Kami menunggu bajet untuk 2017. PM juga perlu menyelesaikan pelbagai isu-isu berkaitan rakyat. Apabila tiba masanya untuk pilihan raya, kita semua akan bersiap sedia.

"Kami yakin bahawa majoriti rakyat berada di belakang kami. Apa yang mereka mahu adalah kestabilan dan kemajuan yang berterusan. Tiada gangguan daripada orang luar,” katanya.

Sebelum ini, Bloomberg memetik dua ketua bahagian Umno yang tidak dinamakan sebagai berkata bahawa pilihan raya mungkin diadakan awal tahun depan.

Manakala naib presiden Gerakan Dominic Lau dilaporkan berkata parti itu telah diarahkan untuk bersiap-sedia menghadapi pilihan raya.

Lihat Komen
ADS