Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Idris: 5 universiti tempatan dalam kelompok satu peratus terbaik dunia
Diterbitkan:  Sep 24, 2016 6:43 AM
Dikemaskini: 10:46 PM

Lima universiti tempatan berada dalam kelompok satu peratus universiti terbaik dunia, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Universiti itu ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau berkata lebih membanggakan apabila ranking terbaik itu melibatkan universiti yang berusia kurang daripada 50 tahun iaitu UPM yang berada di tangga ke-17, UTM (ke-25), UKM (ke-26) dan USM (ke-33) manakala UM berusia lebih 50
tahun.

"Alhamdulillah melalui pelbagai program yang dilaksanakan di lima universiti penyelidik ini, ia mampu berada dalam kelompok satu peratus universiti terbaik dunia.

"Kita berharap universiti lain juga mampu melahirkan lebih ramai graduan holistik yang berteraskan kepada kesusahawanan dan keimanan," katanya ketika melancarkan Program Kembara Siswa Patriotik 2016 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal di Melaka.

Program turut dihadiri Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib serta lebih 2,000 pelajar institusi pengajian tinggi seluruh Melaka.

Mengenai UTeM, Idris berkata universiti berusia muda seperti UTeM yang berusia 16 tahun tidak seharusnya melihat usia mudanya sebagai batu penghalang untuk menjadi antara universiti terbaik dunia.

Beliau percaya dengan usaha gigih dan perancangan teliti, UTeM mampu menyaingi universiti terbaik dunia seperti Universiti Cambridge dan Universiti Oxford.

"Persoalan di sini mengapa kita tidak boleh (bersaing dengan universiti terbaik dunia) dengan usaha dan diberi sedikit masa, saya percaya ia mampu dilakukan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS