Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persempadanan semula: S'gor akan ambil tindakan undang-undang
Diterbitkan:  Sep 24, 2016 8:18 AM
Dikemaskini: 8:19 AM

Kerajaan Selangor akan mengambil tindakan undang-undang terhadap cadangan persempadanan semula, selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal menjawab isu-isu yang dibangkitkannya mengenai perkara tersebut.

Khususnya, kerajaan Selangor meminta penjelasan mengenai kesahan perlembagaan berkaitan cadangan persempadanan semula itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali berkata semalam, beliau menerima jawapan dari SPR yang gagal sepenuhnya untuk menjawab isu-isu utama yang dibangkitkan, yang memberi gambaran bahawa badan itu tidak mempunyai justifikasi untuk mengadakan persempadanan semula itu

SPR, katanya, mesti bertindak dengan cara yang bertanggungjawab dan tidak mengenepikan persoalan serius mengenai perkara-perkara asas dan penting, yang menyentuh asas demokrasi.

Memandangkan pendirian yang diambil oleh SPR dalam suratnya itu, Azmin berkata, beliau dan kerajaan negeri akan mengarahkan peguamnya untuk melihat semua pilihan perundangan yang boleh diambil.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR menegaskan demikian dalam satu kenyataan hari ini.

Pengkritik, antara lain, berkata cadangan itu tidak mengikut berperlembagaan kerana ia mewujudkan "kawasan pilihan raya super", yang melanggar prinsip 'satu orang satu undi'.

[Baca berita penuh]

Malam tadi, Azmin berkata beliau telah merujuk kepada peguamnya surat maklum balas SPR berkaitan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Azmin berkata ini kerana pihak peguamnya mempunyai pandangan sendiri berhubung surat SPR itu.

Terdahulu Azmin mengesahkan menerima surat rasmi dari SPR malam tadi yang dihantar ke pejabat menteri besar itu.

"SPR sudah menjawab surat saya dan saya terus merujuknya kepada peguam.

"Peguam ada pandangan mereka dan akan menyiapkan satu kenyataan yang akan saya keluarkan awal pagi esok (hari ini) untuk menjawab surat SPR itu," kata Azmin kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menyantuni Suara Rakyat di Dewan Jubli Perak, Shah Alam malam tadi.

Rabu lalu, selepas mempengerusikan mesyuarat exco di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di Shah Alam berkata akan menghantar surat rasmi bagi mengadakan pertemuan dengan SPR dalam tempoh 48 jam susulan cadangan persempadanan semula pilihan raya.

Azmin berkata pertemuan dengan SPR perlu agar kerajaan negeri mendapat maklumat terperinci asas mengenai persempadanan semula tersebut.

Menurut Azmin, pertemuan tersebut juga diputuskan setelah Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) mengambil maklum cadangan SPR dan membantahnya.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini, memaklumkan kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lepas.

Mengikut persempadanan semula itu, SPR turut mencadangkan penambahan satu kerusi baru Damansara, yang meliputi kerusi Petaling Jaya Utara sebelum ini, dengan bilangan pengundi melebihi 150,000 orang.

Lihat Komen
ADS