Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kan dah kata...'
Diterbitkan:  Sep 24, 2016 11:31 AM
Dikemaskini: 3:34 AM

Datuk Abdul Rahman Dahlah berkata tindakan ahli parlimen Penampang Darell Leiking meninggalkan PKR untuk bersama Datuk Seri Shafie Apdal membuktikan ramalannya benar belaka.

Kata pengarah komunikasi stategik BN itu beliau sudah menyatakan kumpulan penentang terdiri daripada bekas pemimpin kanan Umno hanya akan menjejaskan sokongan diterima pembangkang ketika ini.

"Saya sudah katakan dulu. TSMY, TunM & DSSA hanya akan memusnahkan sokongan semasa daripada pembangkang. Pembelotan MP Penampang membuktikannya!" kata anggota parlimen Kota Belud itu di Twitter semalam.

Beliau merujuk kepada bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Shafie dalam kenyataannya itu.

Kelmarin Leiking mengumumkan keluar dari PKR untuk bersama dengan Shafie menggerakkan sebuah parti baru berpangkalan di Sabah dalam usaha mereka menentang BN.

Shafie adalah bekas naib presiden Umno yang meninggalkan parti itu selepas keanggotaannya digantung, manakala Leiking naib presiden PKR.

Dr Mahathir dan Muhyiddin kini aktif berkempen untuk menjatuhkan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Rahman berkata perkembangan terbaru itu akan menimbulkan kejanggalan di kalangan parti pembangkang apabila mereka bertemu untuk berbincang mengenai perancangan masing-masing.

"Kita lihat jika Azmin akan selesa bersama Tun M selepas Tun dan kumpulannya mencuri MP mereka (PKR).

"Kesian. Ketika Azmin terpesona dengan helah Tun, rakan Tun di Sabah bertindak pantas ke atas partinya dan mencuri MP mereka (PKR) terang-terangan!" katanya lagi.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail juga tidak terlepas daripada sasaran Rahman.

"Atau Presiden PKR DSWA akan menegur Azmin kerana begitu mudah dikaburi Tun M dan kumpulannya," kata Rahman lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS