Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
S'pura cadang tubuh program pantau bayi dijangkiti Zika
Diterbitkan:  Sep 24, 2016 3:06 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

Kementerian Kesihatan sedang menimbang rancangan menubuhkan sebuah program pengawasan kebangsaan untuk memantau perkembangan bayi yang dilahirkan wanita hamil yang dijangkiti Zika, lapor Channel NewsAsia.

Kementerian itu memantau dengan teliti wanita hamil yang disahkan dijangkiti virus Zika, kata laporan itu pada lewat Jumaat.

Menurut kementerian, sejumlah 16 wanita hamil disahkan dijangkiti virus Zika di Singapura, hampir sebulan sejak kes jangkitan tempatan Zika yang pertama dikesan pihak berkuasa.

Para doktor yang merawat wanita hamil itu sentiasa membuat susulan dengan mereka untuk menyediakan kaunseling dan sokongan, kata laporan itu.

Menurut Channel NewsAsia, keputusan awal daripada kajian di Brazil mengaitkan jangkitan Zika pada wanita hamil dengan masalah mikrosefali pada bayi mereka - kecacatan pada bayi baru lahir yang menyebabkan saiz kepala lebih kecil daripada normal yang boleh membawa kepada masalah perkembangan serius.

Mikrosefali telah dikesan oleh pendaftar kecacatan lahir nasional Singapura sejak Januari 1993, katanya.

Laporan itu menyebut antara 2011 dan 2014, jumlah kes mikrosefali yang didaftarkan setiap tahun dengan pendaftar di Singapura adalah antara lima ke 12 kes bagi setiap 10,000 kelahiran di Singapura.

Tiada sebarang kes mikrosefali yang dikaitkan dengan jangkitan virus Zika dilaporkan di Singapura setakat ini, katanya.

Memetik data di laman web Agensi Alam Sekitar Kebangsaan, laporan itu berkata sehingga Jumaat lepas, terdapat 387 kes disahkan Zika di Singapura.

Kementerian Kesihatan mengesahkan sebanyak 658 ujian Zika dilakukan antara 7 dan 17 September, dan daripada jumlah itu 197 ujian adalah untuk wanita hamil atau individu memiliki gejala virus itu dan perlu menjalani ujian tersebut, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS