Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pertandingan sajak bahasa Cina semai cinta bahasa ibunda
Diterbitkan:  Sep 24, 2016 3:11 PM
Dikemaskini: 7:15 AM

Pertandingan sajak bahasa Cina adalah platform terbaik dalam mengasah bakat pelajar dan menyemai rasa cinta terhadap
bahasa ibunda.

Timbalan Menteri Pendidikan Chong Sin Woon berkata pertandingan peringkat kebangsaan yang telah berlangsung sejak 13 tahun lalu juga secara tidak langsung dapat meningkatkan minat pelajar terhadap karya kesusasteraan.

"Penyertaan pelajar dalam pertandingan ini dapat melatih mereka untuk terus menguasai percakapan dan kualiti bahasa dengan lebih baik.

"Saya yakin menerusi pentas ini, peserta dapat mempamerkan tahap penguasaan bahasa masing-masing yang bertaraf tinggi di samping bertukar-tukar pengetahuan dan kemahiran sesama mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Pertandingan Deklamasi Sajak bahasa Cina Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Kebangsaan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Wei Sin di Kuala Terengganu malam tadi.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussin.

Di majlis itu, Chong turut meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada kumpulan pancaragam SMK Chung Hwa Wei Sin bagi menambah baik uniform pasukan.

Selangor muncul johan keseluruhan dalam pertandingan berkenaan selepas mengungguli kategori sekolah rendah menerusi SJKC Connaught 2.

Bagi kategori sekolah menengah atas johan diraih peserta tunggal individu, Ng Kar Yong dari SMK Seri Keledang, Perak diikuti pasukan SMJK Yok Bon, Melaka untuk kategori menengah rendah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS