Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan membuat bantahan terhadap syor persempadanan semula lima kawasan pilihan raya di Selangor oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Lima kawasan tersebut ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, DUN Bukit Gasing, DUN Bukit Lanjan, DUN Kota Alam Shah dan Parlimen Puchong.

Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, partinya itu juga akan turut membuat bantahan di beberapa kawasan lain di seluruh Malaysia.

Ini kerana, menurut Mah, terdapat kawasan yang ditanding oleh Gerakan terjejas ekoran persempadanan semula itu.

Malah, Mah juga berkata, Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak juga telah membenarkan parti-parti komponennya untuk membuat bantahan terhadap syor SPR itu.

"Semalam (dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN) sudah beritahu masalah yang dihadapi. Secara prinsipnya semalam Datuk Seri Najib umumkan bahawa parti-parti (komponen) boleh buat bantahan, jadi BN juga membenarkan kami untuk membuat bantahan.

"Jadi kita akan mulakan dengan bantahan.

"Banyak kawasan kita telah terjejas, jadi kita telah tentukan kawasan-kawasannya dan akan dapatkan 100 pegundi untuk buat bantahan itu," katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di ibu negara hari ini.

Kawasan lain yang akan dibuat bantahan kerana memberi kesan besar kepada Gerakan ialah di Beruas Perak, Bachang Melaka dan Ketari Pahang.

'Berlaku perubahan mendadak'

Selain itu, anggota parlimen Teluk Intan itu berkata, bantahan itu dibuat juga kerana menurut Mah terdapat kawasan yang telah berlaku perubahan mendadak ekoran persempadanan semula oleh SPR itu.

"Banyak kawasan yang kita dah berkhidmat lama tiba-tiba ditukar. Contohnya di Beruas kita dah bekerja kuat tiga tahun lalu, tetapi sekarang seluruh kerusi dah ditukar begitu mendadak," ujarnya lagi.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan, Pemuda Gerakan berpendapat cadangan proses persempadanan semula SPR hanya mengutamakan penguasaan kaum berbanding memastikan percampuran antara kaum yang seimbang. http://www.malaysiakini.com/news/356002

SPR melaksanakan kajian semula persempadanan bagi kerusi Parlimen dan DUN bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah bermula 15 September lalu.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

Menurut Abdul Ghani SPR akan mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah selama satu bulan bermula 15 September hingga 14 Oktober.

 

Lihat Komen
ADS