Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jamuan makan malam sempena ulang tahun ke-50 DAP di Pulau Pinang malam tadi menunjukkan penyokong parti itu tetap bersama setiausaha agungnya Lim Guan Eng.

Kira-kira 3,000 orang hadir memenuhi kawasan sambutan yang diadakan di SPICE Arena di Bayan Baru itu.

Penganjur juga mengumpul derma bernilai RM12,144.30 daripada makan malam berkenaan.

Ia berlaku ketika Lim berdepan dua tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Sebelum makan malam berakhir orang ramai diminta menunjukkan pelekat sebagai tanda sokongan kepada ketua menteri Pulau Pinang itu.

Mereka juga menjeritkan slogan "Lawan Tetap Lawan".

Dalam ucapannya Lim berterima kasih kepada penyokong kerana terus bersamanya dan DAP walaupun berdepan pelbagai rintangan.

"Saya terharu dengan kepercayaan yang anda berikan, dan percaya kami tidak makan wang (mencuri).

"Saya mengucapkan terima kasih atas kepercayaan ini dan kita akan terus bersih (daripada sebarang salah laku dan penyelewengan) untuk masa depan Malaysia," katanya disambut sorakan orang ramai.

Sepanjang tempoh setengah abad parti itu Lim berkata mereka tetap berjuang menghadapi pelbagai cabaran dengan matlamat untuk mempertahankan prinsip bahawa Malaysia boleh menjadi negara yang lebih baik.

Sebagai parti pembangkang di peringkat nasional Lim berkata DAP tidak mengkhianati kepercayaan diberi rakyat kepada parti berkenaan.

Di Pulau Pinang sendiri kata Lim sejak menjadi kerajaan pada 2008 pelbagai perubahan sudah dilakukan.

Katanya negeri iu juga berjaya di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) kerana urus tadbirnya dijalankan dengan berdasarkan tiga prinsip iaitu integriti, merendah diri dan terbuka kepada perbincangan.

"Kita tidak berpura-pura kononnya tahu semua. Kita mendapatkan pandangan pakar apabila mahu melaksanakan sebarang pembangunan," katanya.

Lim turut menyatakan ikrar DAP untuk terus menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri daripada gabungan HARAPAN.

"Semua rakyat tanpa mengira kaum akan menolak seorang perdana menteri korup, dan menyokong pemimpin yang bersih," katanya.

Turut berucap di majlis itu Timbalan Ketua Menteri 2 P Ramasamy, Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dan Naib Presiden Parti Amanah Negara Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Kes rasuah ke atas Lim akan disebut semula di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 30 September ini.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS