Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

BN akan mengadakan mesyuarat khas Khamis ini bagi membincangkan mengenai persempadanan semula yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata mesyuarat itu akan disertai setiausaha agung parti komponen BN seluruh negara untuk membincangkan sebarang ketidakpuasan hati mereka terhadap cadangan persempadanan semula itu sebelum keputusan dibuat untuk mengemukakan bantahan kepada SPR sebelum 14 Oktober ini.

"Umno juga telah minta Badan Perhubungan Umno Negeri yang mempunyai masalah (berkaitan syor persempadanan semula) untuk mengumpulkan semua syor atau bantahan dan hasil penelitian akan diserahkan kepada SPR.

"Kalau boleh, kita minta SPR lihat semula (cadangan persempadanan) kerana beberapa bahagian Umno tidak berpuas hati, begitu juga pembangkang yang tidak berpuas hati boleh mengemukakan bantahan kepada SPR," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Pasir Salak di Pasir Salak hari ini. Turut hadir Ketua bahagian Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata persempadanan semula kawasan pilihan raya merupakan perkara biasa yang dilakukan SPR setiap lapan hingga 12 tahun sekali bergantung kepada penambahan penduduk di negara ini.

Dalam pada itu, Tengku Adnan menegaskan Umno tiada kaitan dengan cadangan persempadanan semula seperti didakwa pembangkang kerana SPR merupakan badan yang berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana parti.

"Kita (Umno) tak buat (seperti dakwaan), jadi kita akan kumpul semua bantahan mengikut garis panduan dan peraturan yang ditetapkan," tegas setiausaha agung Umno itu.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan Pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

SPR sedang mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah selama satu bulan bermula 15 September hingga 14 Oktober.

- Bernama

Lihat Komen
ADS