Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umat Islam di negara ini diseru agar 'merasa berdosa dan bersalah' sekiranya tidak menyampaikan ajaran Islam.

Ahli Jawatankuasa Induk Majlis Dakwah Negara (MDN) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz berkata, sebagai umat yang cintakan agama, masyarakat Islam perlu menyebarluaskan ajaran Islam kepada bukan Muslim dalam apa cara sekali pun.

"Kita mesti rasa bersalah dan berdosa. Saya ulang, kita mesti rasa bersalah dan berdosa kerana di Malaysia ini masih ramai lagi orang Islam tidak menyampaikan risalah Islam kepada bukan Islam.

"Kita lihat kepada suku kaum (bukan Muslim) yang ada di Malaysia, berapa ramai dan berapa kerap kita mendekati mereka untuk bercakap tentang agama yang sepatutnya kita kongsikan," kata Wan Mohamad.

Beliau berkata demikian ketika penutupan Seminar Kebangsaan Kelangsungan Dakwah dan Pemerkasaan Islam di Malaysia di Kompleks Karangkraf Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Mohamad berkata masyarakat Islam perlu mendekati bukan Muslim bagi berdakwah kepada mereka dan bukan sekadar bertukar juadah.

"Ada pun kita mungkin sekadar bertukar lemang dengan limau tetapi tidak bercakap tentang Islam pun. Kita naik ETS ambil penerbangan ke Sabah yang memakan masa 2 jam 15 minit dan duduk bersebelahan dengan bukan Islam, kita tak bercakap pun tentang agama.

"Betulkah kita seorang yang sayangkan agama kita? Tetapi kalau nak jual produk, minit ke lima dah masuk jarum dah," sindir Wan Mohamad.

Kata Wan Mohamad lagi, negara hari ini memerlukan lebih ramai ulama khususnya di kalangan mualaf.

"Kita di Malaysia inginkan ulama dari suku Iban dan kita masih fakir ulama di Malaysia," kata Wan Ahmad.

'Portal berita cenderung Kristian'

Sementara itu, Naib Presiden Muafakat A. Karim Omar mendakwa beberapa portal berita seperti Malaysiakini, FreeMalaysiaToday serta The Malaysian Insider yang sudah setahun tidak beroperasi
sebagai menentang Islam.

A. Karim berkata ini kerana ketiga-tiga portal itu sering kali dilihat cenderung kepada agenda Kristian.

"Portal berita seperti Malaysiakini, TMI, FreeMalaysiaToday dan The Malay Mail Online kerjanya siang malam hentam Islam.

"Contohnya, bila saya mendedahkan adanya agenda Kristian dalam jurulatih bola sepak, mereka menafikan termasuk memetik kenyataan Baru Bian pemimpin PKR, menyatakan dengan jumlah orang Kristian tak akan dapat menyebarkan agama Kristian.

"Saya tak cakap kosong, saya cakap dengan bukti, saya ikuti Twitter orang-orang Kristian. Saya memang geram dengan portal-portal sebegini," kata A.Karim.

Terdahulu A. Karim membentangkan kertas kerja Menangani Gerakan Kristianisi di Malaysia: Pendekatan NGO Islam

Seminar Kebangsaan Kelangsungan Dakwah dan Pemerkasaan Islam di Malaysia itu diadakan di Kompleks Karangkraf Shah Alam.

Seminar itu merupakan anjuran Persatuan Ulama Malaysia dan berlangsung selama dua hari bermula semalam dengan dihadiri kira-kira 100 peserta.

Lihat Komen
ADS