Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tebusan Sabah ‘tak larat’ lagi, mohon bantuan segera
Diterbitkan:  Sep 26, 2016 1:21 PM
Dikemaskini: 5:44 AM

Penculik kumpulan pengganas Abu Sayyaf membenarkan seorang tebusan rakyat Malaysia untuk menghantar mesej memohon bantuan kepada kerajaan Malaysia, lapor akhbar The Star hari ini.

Dalam laporan eksklusif, akhbar harian berbahasa Inggeris itu berkata pihaknya dihubungi kumpulan di Filipina itu, yang menculik lima tebusan Malaysia pada 18 Julai lalu di Pulau Jolo, Sabah.

Jurucakap Abu Sayyaf, Abu Rami membenarkan tebusan, Mohd Ridzuan Ismail, 32, untuk bercakap selama kira-kira lapan minit.

"Kita tak larat lagi, badan semua lemah, makan pun tidak. Apa lagi, kita semua dipukul.

"Ada lagi orang mahu tembak, berperang. Kita minta tolong," kata tebusan itu.

Mohd Ridzuan juga berkata mereka jarang diberi makan manakala terpaksa meminum air dari parit atau longkang.

Menjawab soalan wartawan, beliau berkata kesemua mereka ditempatkan di hutan dan diikat pada waktu malam dan sekiranya hujan, mereka akan basah tanpa diberi sebarang perlindungan.

"Saya tebusan dari Malaysia. Nama saya Mohd Ridzuan Ismail. Saya minta bantuan kerajaan dan bos saya bantu bebaskan kita secepat mungkin.

"Kita menderita di pulau Jolo," katanya.

Sehari sebelum itu, Abu Rami memberitahu The Star mereka kumpulan Abu Sayyaf menuntut 100 juta peso (RM8.5 juta) bagi membebaskan rakyat Malaysia itu.

Pada 19 Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau percaya kumpulan penculikan untuk wang tebusan yang berpangkalan di selatan Filipina itu bertanggungjawab.

Sejak kebelakangan, penculikan di perairan Sabah, yang bersempadan dengan selatan Filipina, berterusan.

Pada 16 Sept lalu, kumpulan Abu Sayyaf membebaskan tiga nelayan Indonesia yang diculik pada 9 Julai kira-kira 3.6 batu nautika dari Kampung Sinakut, dekat Lahad Datu.

September 10 menyaksikan satu lagi penculikan di mana tiga nelayan Filipina diculik oleh tujuh lelaki bersenjata di perairan Pulau Pom-Pom, Semporna.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS