Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sesuai dengan cogan katanya 'Menyelusuri Segenap Pelosok Mencari Asnaf', Skuad Jejak Asnaf Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melaksanakan pelbagai kaedah bagi menjejaki golongan kurang bernasib baik.

Cara terbaharu adalah memaparkan no talian untuk menghubungi MAIWP pada pengangkutan awam di sekitar Wilayah Persekutuan bagi membolehkan mereka yang dalam kesusahan mendapatkan bantuan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Zainal Abidin Jaffar berkata talian bebas tol 1-800-88-5222 dan talian hotline 012-5183614 atau 012-5127614 yang dipaparkan pada 15 buah bas RapidKL di Kuala Lumpur dan 10 buah bas Nadi Putra di Putrajaya boleh dihubungi orang ramai 24 jam setiap hari.

Selain itu MAIWP turut memaparkan nombor talian bebas tol dan
hotline itu pada 300 buah teksi di sekitar ibu kota yang mana pemandu teksi itu juga merupakan penerima bantuan deposit teksi MAIWP.

"Sebelum ini antara cara hebahan yang dibuat adalah melantik seorang
ketua blok di setiap kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang akan mencari golongan asnaf seperti ibu tunggal," katanya.

Sejak memaparkan hebahan itu, pada awal tahun ini sehingga Julai
lepas, talian bebas tol dan hotline skuad jejak asnaf menerima 2,506 panggilan daripada orang awam yang melaporkan golongan asnaf yang tercicir daripada pengetahuan MAIWP.

Zainal menunjukkan kebanyakan bas yang memaparkan nombor talian itu masuk ke kawasan 'hot spot' asnaf seperti golongan gelandangan di Jalan Chow Kit, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India.

Beliau berkata hasil panggilan yang diterima Skuad Jejak Asnaf Baitulmal, MAIWP telah menyantuni 3,112 orang yang memerlukan bantuan sama ada bantuan segera seperti kewangan atau tempat tinggal serta bantuan lanjutan seperti bantuan zakat bulanan.

"Seramai 80 anggota skuad jejak asnaf bekerja tiga 'shift' bagi tempoh 24
jam setiap hari bagi menjaga talian hotline dan bebas tol. Sebaik menerima panggilan orang awam dan mendapatkan maklumat terperinci, skuad ini akan segera mencari asnaf itu.

"Kalau sempat malam itu juga kita cari (asnaf). Kalau dia (asnaf) tidak ada rumah, malam itu juga kita bawa ke rumah transit Baitulmal MAIWP yang terletak di Sentul," katanya.

MAIWP mengagihkan pemberian zakat secara langsung melalui 28 skim bantuan zakat yang berjalan sepanjang tahun seperti bantuan keperluan asas, perumahan dan pendidikan yang mana sebanyak 60,755 asnaf menerima skim bantuan ini dari Jun hingga Julai lepas.

Pada tahun 2015, katanya, MAIWP mengagihkan zakat terus kepada 211,942 penerima.

Selain itu, katanya, agihan zakat turut dibuat secara tidak langsung melalui penubuhan institusi pendidikan dan perlindungan seperti Institut Kemahiran Baitulmal, Sekolah Menengah Agama MAIWP dan institusi perlindungan Darul Kifayah.

Bagi Zainal, segala usaha yang dilakukan itu membayangkan komitment MAIWP dalam menunaikan tanggungjawab menguruskan agihan zakat.

"Baru-baru ini MAIWP mendapat sijil bersih tanpa teguran daripada Jabatan Audit Negara bagi Pengauditan Terhadap Penyata Kewangan MAIWP Bagi Tahun Berakhir 2015. Ia merupakan pencapaian MAIWP selama sepuluh tahun berturut-turut. Ini membuktikan MAIWP memang telus dalam mengagihkan zakat," katanya.

Bantuan amat bermakna 

Sementara itu, seorang penerima zakat kewangan bulanan MAIWP Basri Husin, 34, berkata bantuan yang diterima sememangnya membantu beliau yang lumpuh separuh badan meneruskan kehidupannya.

Basri yang mengalami kecederaan saraf tunjang pada November 2014 berkata beliau mengetahui maklumat berkenaan zakat MAIWP daripada seorang jururawat semasa beliau dimasukkan ke hospital.

"Pada waktu itu memang saya buntu. Saya tertekan daripada segi kewangan dan emosi. Apatah lagi mengenangkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengajian Islam di Universiti Malaya terpaksa ditangguhkan," kata bapa kepada dua anak itu.

Selain menerima bantuan kewangan berjumlah RM500 sebulan, Basri turut menerima bantuan katil khas dan bantuan keperluan harian seperti lampin dan tisu daripada MAIWP.

Ditanya mengenai pendekatan MAIWP memapar hebahan melalui pengangkutan awam, Basri berkata ia merupakan langkah bijak memandangkan terdapat golongan asnaf yang masih tidak mengetahui cara memohon bantuan zakat MAIWP.

-Bernama

Lihat Komen
ADS