Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Noh tempelak MB sibuk berpolitik, tak fikir masalah rakyat

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar menempelak Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sibuk berpolitik sehingga tidak memikirkan masalah rakyat terutamanya krisis air di negeri itu.

Katanya, kegagalan itu berpunca daripada Azmin yang juga adalah timblan presiden PKR begitu sibuk dengan urusan politik bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed.

"Mana menteri besar ada masa nak fikir masalah rakyat, dia fikir masalah parti dia (PKR) yang dah carca marba, kedudukan dia sebagai MB yang dah mula goyang, tekanan parti-parti carca marba dia.

"Lepas itu pula heboh dengan urusan politik Tun M walaupun parti dia tak bersetuju.

"Itulah kerja dia, mana ada masa nak fikir," kata Noh kepada pemberita di Semenyih hari ini.

Terdahulu Noh bersama ADUN Semenyih, Datuk Johan Aziz menyerahkan bantuan air mineral kepada penduduk di sekitar kawasan itu yang mengalami gangguan bekalan air sejak empat hari lalu.

Difahamkan sejak empat hari lalu, lebih 330,000 akaun pengguna Syabas yang melibatkan hampir 1.5 juta rakyat mengalami gangguan bekalan air.

Mengulas lanjut Noh yang juga ahli parlimen Tanjong Karang berkata masalah gangguan bekalan air di sekitar Semenyih bukan perkara baru namun apa yang berlaku sejak empat hari lalu benar-benar menyusahkan rakyat.

Kambing hitam

Justeru, Noh menggesa kerajaan negeri mengkaji segala punca yang mengakibatkan gangguan bekalan air ini dan tidak hanya duduk di kerusi empuk menteri besar sahaja.

"Saya tak tahulah dia dah turun ke belum tengok masalah air ini. Dia kena turun tengok masalah rakyat, jangan duduk di kerusi empuk sahaja.

"Sepatutnya dia kena jaga loji-loji air ini macam dia jaga kerajaan negeri. Punca (masalah air) dia di mana? Kenalah buat kajian, jangan buat kajian pilihan raya saja," sindir Noh.

Noh berkata jika dahulu pimpinan kerajaan negeri itu seringkali mencari salah pihak yang terlibat dalam krisis air ini, namun kini apabila ia berulang kerajaan negeri diam membisu.

"Dulu dia ada kambing hitam, asal salah sikit sahaja salahkan Syabas, bila tak ada air masalah dari loji.

"Sekarang dia nak salahkan siapa? Pengurusan air dia dah ambil seratus peratus," kata Noh.

Malah, kata Noh tidak ada gunanya kerajaan negeri memberikan air percuma kepada rakyat Selangor sekiranya air tiada.

"Kalau bagi air percuma tapi air tak ada buat apa?’ soal Noh.

Sementara itu, ADUN Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz yang juga setiausaha Umno Selangor berkata beliau akan membangkitkan isu air di DUN Selangor yang akan bersidang Oktober depan.

"Masalah air di Semenyih bukan perkara baru tapi kali ini sangat teruk.

"Insya-Allah bulan Oktober ini saya akan bangkitkan dalam DUN sampai bila isu air ini akan selesai," kata Johan.

Tiada notis

Sementara itu, seorang penduduk Rohani Baharom, 50 begitu tertekan dengan apa yang dialaminya sehingga gagal mengawal emosi ketika ditemui pemberita.

Berang dengan apa yang berlaku, beliau menggesa Azmin turun meninjau masalah mereka.

"Kami panggil Azmin keluar, jangan duduk dalam rumah berhawa dingin saja tapi kami di sini dibuai mimpi indah beliau," jerit Rohani sebelum ditenangkan penduduk lain.

Bagi Maziah Hashim,42, seorang suri rumah pula kesal kerana tiada sebarang notis dikeluarkan oleh pihak bertanggunjawab.

"Mereka sepatutnya keluarkan notis lebih awal supaya kita boleh simpan bekalan air," kata Maziah.

Roziana Kasim, 40, seorang peniaga pula berkata beliau terpaksa menutup kedainya sepanjang ketiadaan air ini sekali gus menyebabkan kerugian kepadanya.

"Dah beberapa hari saya tak meniaga sebab tak ada air, " kata Roziana.

Lihat Komen
ADS