Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mufti Kelantan seru orang Islam sokong pindaan Akta 355

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyeru orang Islam agar menyokong pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 yang bertujuan memartabatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negara ini.

Mohamad Shukri pada masa yang sama, turut menasihati anggota Parlimen khususnya yang beragama Islam agar menyokong pindaan tersebut apabila ia dibahaskan di sidang Dewan Rakyat pada sesi akan datang.

"Memang wajib (menyokong)... kenapa tidak mahu melihat perkara baik berlaku dalam Mahkamah Syariah. Kalau sebelum ini, bidang kuasa Mahkamah Syariah rendah, kalau beri sedikit kuasa, apa masalahnya.

"Dalam al-Quran ada menyebut, bertolong, membantu dalam hal-hal kebaikan, kebajikan dan taqwa merupakan benda yang baik, jadi semua patut sokong perkara baik (Akta 355)," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Mahabbah Ulama di Kota Bharu, hari ini.

Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan merasmikan majlis berkenaan yang turut dihadiri Anggota Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Datuk Zakaria Stapa dan lebih 1,000 pelajar pondok seluruh negeri.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata akta berkenaan sebelum ini dipinda sebanyak dua kali tanpa sebarang masalah ataupun mendapat bantahan daripada mana-mana pihak.

Justeru, beliau melihat tentangan terhadap pindaan Akta 355 banyak
dikemukakan oleh parti politik yang disifatkan mempunyai kepentingan
masing-masing.

"Saya pun tidak faham. Pindaan Akta 335 ini kalau diluluskan, ia hanya
bertujuan meningkatkan lagi bidang kuasa Mahkamah Syariah.

"Kalau kita tengok tentangan ini banyak daripada parti-parti politik,
barangkali ada isu-isu yang ada kepentingan masing-masinglah," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS