Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengguna berbelah bagi berkaitan hasrat Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) melancarkan logo halal khusus bagi produk orang Islam.

Terdapat pengguna yang menyokong usaha Ikiam dan Risda itu atas alasan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak cekap menguruskan persijilan halal.

"Semua benda kena halal tapi sekarang Jakim hanya nampak makanan sahaja nak di halalkan. Sebenarnya kita punya gaya hidup dan pembungkusan khusunya makanan semua kena halal.

"Jakim kena luaskan bidang kuasa sebab itu orang nak ambil alih (tugas Jakim keluarkan logo halal). Sebab dia sendiri tak boleh buat kerja sistem tambah baik semua," kata Rashidah Halim, 40.

Ikiam dengan kerjasama Risda kelmarin dilapor mahu melancarkan logo baru itu awal tahun depan.

Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata logo itu bertujuan mengesahkan produk berkenaan keluaran usahawan Muslim selepas memperoleh sijil halal Jakim.

Rashidah, seorang pengusaha, berkata beliau sebelum ini cuba mendapatkan logo halal bagi pembungkusan produk makanan beliau namun ditolak Jakim.

"Saya marah dengan Jakim sebab Jakim cakap barang saya ini tidak perlu dihalalkan. Saya nak buat pembungkusan dan saya nak halalkan pembungkusan bukan makanan. Jadi dia kata tak perlu dihalalkan.

"Jadi, kenapa nak halalkan makanan tapi tak nak halalkan pembungkusan? Memang apa yang kita masak seperti mi, nasi halal tapi pembungkusan tak halal dan kita bungkus dengan pembungkusan yang tak halal tak guna juga," kata Rashidah lagi.

Biar badan sepatutnya

Manakala, Mohd Fauzi Ibrahim, 44, penjawat awam yang ditemui Malaysiakini pula berkata beliau sangat tidak bersetuju dengan apa yang cuba dilakukan Risda.

"Kita tak bersetujulah. Kalau boleh logo halal ini badan yang sepatutnya sahaja yang menguruskannya.

"Kalau dah terlampau banyak badan pun masalah juga nanti kepada kita sebagai pengguna. Sekarang ini pun barang yang masuk banyak tak halal," kata Fauzi.

Menurut Mohd Fauzi, tindakan Risda mengeluarkan logo halal mereka itu nanti hanya akan menimbulkan kekeliruan kepada pengguna Islam saja.

Sebaliknya, apa yang perlu dilakukan Jakim kini adalah mempertingkatkan usaha mereka dalam mengawal penggunaan logo halal sedia ada.

"Memang menimbulkan kekeliruan sebab ia dari segi ketelusan. Penguatkuasaan kena ada sebab apa yang kita rasa penguatkuasaan perlu ditingkatkan," kata Mohd Fauzi.

Halal haram isu sensitif

Bagi Jamal Abdul Karim, 50, setiausaha Penduduk Bandar Teknologi Kajang Baru pula membantah keras usaha Risda.

"Janganlah (buat), kalau boleh kita nak membantah sebab soal halal haram ini sangat sensitif," keluh Jamal.

Malah, Jamal menggesa biarlah logo halal ini hanya diselia oleh Jakim.

"Saya rasa tak sesuailah, biarlah satu jabatan yang khusus saja yang keluarkan logo halal ini. Ini bukan benda main-main, halal haram ini untuk umat Islam sejagat.

"Jangan tambah jabatan-jabatan yang boleh keluarkan logo halal ini. Kami cukup risau bab halal, haram ini," kata Jamal.

Ujar Jamal, apa yang sedia ada hari ini sudah cukup membimbangkan pengguna.

"Sebab kita tengok kedai bukan Muslim pun halal haram ini mereka utamakan. Malah, ada juga yang nama saja kedai Melayu tapi di belakangnya (tauke) Cina," kata Jamal.

Apa yang diutarakan Jamal turut disokong oleh Norhayati Hashim, 40, seorang pekerja swasta.

"Perkara ini melibatkan Islam dan agama. Tetapi bukanlah kita kata Risda ini bukan badan Islam tetapi Jakim ini adalah badan tertinggi yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga status Islam dan halal ini.

“Jadi kalau kita bagi Risda nanti Felda pun nak, Fama pun nak. Jadi, dia (Jakim) tak ada kredibiliti lagi," kata Norhayati.

Bagaimanapun, ada juga yang berpandangan apa yang diusahakan Risda itu bagus.

Menurut Rosli Sarip, 50, seorang peniaga langkah tersebut bagi mengelakkan umat Islam dari tertipu meskipun mengakui mungkin terdapat sedikit kekeliruan pada awalnya.

"Tindakan yang bagus untuk makanan orang Islam dan kita tak akan tertipulah, kadang-kadang logo halal itu dibuat sendiri pengeluar makanan. Jadi, bila Risda nak keluarkan logo mereka baguslah.

"Mula-mula memang keliru sikitlah tapi lama-lama OK," kata Rosli.

Manakala Rodiana Kassim, 44, seorang suri rumah beliau setuju dengan cadangan itu namun tetap bimbang dengan tindakan segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan tindakan Risda.

"Bagus cadangan itu tapi takut ada pihak-pihak yang ambil kesempatanlah sebab mungkin ada yang tak diluluskan tapi mereka buat sendiri logo halal mereka.

"Kalau ada dua, tiga pihak yang mempunyai kuasa untuk logo halal sendiri dia boleh mengakibatkan salah guna yang banyak," kata Rodiana.

Lihat Komen
ADS