Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pantau kualiti air juga tugas agensi pusat, Noh Omar'
Diterbitkan:  Sep 27, 2016 10:22 AM
Dikemaskini: 3:31 AM

Pemimpin pembangkang menggesa Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar tidak mempolitikkan masalah air di Selagor.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama Yeo Bee Yin berkat Noh lebih berminat pada manfaat politik dengan menghentam Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali.

Yeo berkata tugas memantau kualiti air bukan semata-mata kerja Lembaga Urus Air Selangor (Luas) tetapi juga agensi kerajaan pusat, Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Beliau berkata tugas utama kini mengenal pasti sumber pencemaran air yang berlaku.

“Selepas itu, kedua-dua kerajaan (pusat dan negeri) harus pastikan dalang utama didakwa di mahkamah dan mendapat hukuman paling keras yang mungkin seperti diperuntukkan undang-undang berkaitan,” katanya.

Berhubung penutupan loji rawatan air di Semenyih akibat pencemaran sungai, Yeo berkata ia satu-satunya punca gangguan bekalan berpandangan.

Noh ketika mengagihkan bantuan air mineral kepada penduduk mengalami masalah bekalan di Semenyih menempelak Azmin yang didakwa sibuk berpolitik dan tidak memikirkan masalah rakyat.

Difahamkan sejak empat hari lalu, lebih 330,000 akaun pengguna SYABAS yang melibatkan hampir 1.5 juta rakyat mengalami gangguan bekalan air.

Noh menggesa kerajaan negeri mengkaji segala punca yang mengakibatkan gangguan bekalan air ini dan tidak hanya membuat kajian pilihan raya.

Katanya, kerajaan negeri tidak harus menyalahkan mana-mana pihak lagi, seperti SYABAS memandangkan pengurusan air negeri telah diambil alih.

Politik murah, kata exco

Sementara itu exco pelancongan dan alam sekitar Selangor Elizabeth Wong berkata kerajaan negeri tidak ingin membuang masa dengan “politik murah oleh orang yang berniat tidak baik”.

Katanya, Selangor kini hanya mahu menumpukan terhadap pemulihan penuh bekalan air dan mengenal pasti serta mendakwa pesalah yang terlibat.

“Air Selangor, LUAS dan JAS telah bertindak ke atas isu ini sejak ia dikesan dan berjaya mengoperasi loji rawatan air sepenuhnya sejak petang Sabtu.

“Segala pujian kepada agensi-agensi ini atas pencapaian ini,” katanya.

Wong berkata pencemaran bau di Sungai Semenyih yang mengakibatkan henti tugas sementara loji rawatan air Semenyih sebanyak tiga kali dalam tempoh 48 jam, telah mula beroperasi sejak 2:30 petang, 24 September lalu.

Katanya, sepanjang tempoh 50 jam, tiada pencemaran bau dikesan sejak loji rawatan air beroperasi semula.

Sehingga 5 petang semalam, katanya lagi, bekalan air telah pulih di hampir semua kawasan yang terlibat.

Lihat Komen
ADS