Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Insentif tunai Invoke: BERSIH kata menyedihkan, AMANAH anggap kreatif

Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah menyifatkan insentif wang tunai yang ditawarkan oleh sebuah badan bukan kerajaan untuk menarik golongan muda mendaftar sebagai pengundi adalah "menyedihkan".

"Kami benar-benar mahu untuk melihat pengundi untuk mendaftar atas kerelaan sendiri dan bukannya perlu dibayar atau menyertai pertandingan.

"Itu (insentif tunai) adalah benar-benar agak menyedihkan," katanya pada sidang akhbar di Petaling Jaya.

Maria mengulas peraduan dalam talian anjuran NGO berkaitan PKR, Invoke yang menawarkan hadiah wang tunai mingguan untuk menggalakkan kira-kira empat juta pengundi muda yang belum berdaftar.

Walau bagaimanapun, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Samad menyokong inisiatif itu dan berkata ia adalah perlu untuk menarik golongan muda untuk mendaftar.

“Soal pendaftaran dilihat sebagai satu masalah atau cabaran yang perlu dihadapi.

“Mungkin ini disebabkan suasana politik negara yang kelihatan begitu berkecamuk dan dan menyebabkan ramai hilang minat dengan politik maka usaha mana-mana pihak sama ada dari pihak bersih atau parti-parti politik kita sokong.

“Ia untuk menggalakkan rakyat daftar mengundi jadi kita sokong. Ia usaha kreatif yang tak perlu kita tiru atau pertikai,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam.

Khalid berkata demikian ketika ditanya mengenai usaha yang dibuat Invoke dalam usaha mengajak rakyat untuk mendaftar mengundi.

Menurut NGO itu, susulan kajiannya dalam talian mendapati kebanyakan belia berkata mereka akan mendaftar jika terdapat insentif tunai.

Bermula hari ini, mereka yang mendaftar berpeluang memenangi hadiah mingguan sehingga RM1,000 tunai melalui pertandingan di laman web Invoke.

Mereka cuma perlu memuat naik slip pendaftaran pengundi, memaklumkan kepada Invoke mengapa mereka memilih untuk mendaftar dan memberikan beberapa butiran peribadi untuk berpeluang memenangi wang tunai.

Mereka yang membekalkan jawapan terbaik setiap minggu berpeluang memenangi hadiah utama RM1,000, dua hadiah kedua bernilai RM500 setiap satu dan tiga hadiah sagu hati RM200 setiap seorang.

Lihat Komen
ADS